utama

Bantulah... demi kasih pada si bulus [METROTV]

Oleh Redzuan Muharam

“SAYA tidak sanggup membiarkan kumpulan kucing berkenaan kelaparan dan kini berusaha mencari jalan untuk mendapatkan wang bagi membeli bekalan makanan.

“Salah satu caranya adalah dengan berkongsi kisah sebenar berserta video sebagai bukti dengan harapan ada individu, terutama pencinta kucing di luar sana yang sudi untuk membantu,” kata Rohaniza Ishak, 37.

Rohaniza memberi reaksi itu bagi mengulas mengenai hantaran dimuat naik di Facebook miliknya, Jumaat lalu berhubung sekumpulan kucing yang hilang sumber makanan selepas habitatnya di sebuah premis di Port Dickson, Negeri Sembilan dihentikan operasi sepenuhnya pada 14 Oktober lalu.

Menerusi hantaran sama, Rohaniza turut memuat naik video menunjukkan kumpulan kucing itu berlegar di sekitar kawasan sebuah premis sambil ‘mengiau’ kerana kelaparan sebelum berhenti melakukannya selepas diberi makan.

Bercerita lanjut, Rohaniza berkata, dia memberi makan kepada kumpulan kucing itu sejak mula bertugas di premis berkenaan pada 2008.

Malah, aktiviti itu menjadi rutin hariannya setiap pagi dan selepas selesai waktu kerja.

“Namun, saya dan kakitangan lain diminta mengosongkan premis berkenaan secara berperingkat mulai awal hingga pertengahan bulan ini kerana berpindah ke bangunan lain.

“Meskipun, premis itu sudah tidak berpenghuni, kumpulan kucing berkenaan masih tidak berganjak dan saya menyedarinya ketika ke situ (premis) empat hari selepas bertugas di bangunan baharu yang terletak dalam jarak satu kilometer (km).

“Mujurlah, pengawal keselamatan di situ mengizinkan saya masuk ke dalam premis untuk memberi makan kerana jika tidak, entah bagaimana nasib 20 kucing berkenaan, terutama tujuh daripadanya yang kini bunting.

“Sedih rasanya kerana sebaik melangkah masuk ke dalam premis berkenaan, semuanya (kucing) meluru ke arah saya sambil ‘mengiau’ kerana kelaparan ,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Rohaniza berkata, dia mulanya agak keberatan meminta bantuan orang ramai kerana bimbang disalah erti tetapi terpaksa memandangkan turut menanggung perbelanjaan bagi 13 kucing peliharaannya di rumah.

Kesulitan dihadapi juga menyebabkan Rohaniza hanya mampu memberi makan sekali saja dalam sehari kepada kucing di premis berkenaan.

“Dulu, bukan hanya saya tetapi ada juga kakitangan lain antaranya pekerja kafetaria yang memberi makan kepada kucing berkenaan.

“Kini, tiada siapa boleh mengambil tanggungjawab itu dan saya pula hanya mampu memberi makan sekali saja iaitu selepas waktu kerja.

“Rutin berkenaan tetap diteruskan pada hari cuti walaupun perlu memandu sejauh 15km dari rumah ke premis terbabit kerana tidak sampai hati melihat kumpulan kucing itu berlapar.

“Bagaimanapun, perbelanjaannya bukan sedikit jadi saya mengharap jasa baik orang ramai untuk membantu dengan menghulurkan sumbangan makanan (kucing).

“Saya turut mengalukan mereka yang mahu mengambil kucing berkenaan untuk dipelihara kerana sekurang-kurangnya, ia tidak terbiar tanpa bertuan,” katanya.

Orang ramai yang berhasrat membantu boleh menghubungi Rohaniza di talian 013-6417511.

Disiarkan pada: October 29, 2019 @ 9:00pm
d