utama

Ihsan buat Noah

Oleh Mohd Amin Jalil

SEORANG bapa terus berusaha mengumpulkan dana termasuk mengharapkan simpati orang ramai bagi membolehkan anaknya yang berusia dua tahun menjalani pembedahan akibat penyakit tulang kaki bengkok.

Mohd Nor Hafiz Md Shari, 35, dari Taman Nusa Intan Senawang berkata, pembedahan Noah Ulhaq atau mesra dipanggil Adam yang dirancang dilakukan di Bangkok, Thailand memerlukan kos sekitar RM31,000.

Bekas kakitangan swasta itu yang kini berniaga air di Senawang berkata, setakat ini dana yang berjaya dikumpulkan hasil sumbangan pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan berjumlah RM24,000.

“Kami memerlukan RM7,000 lagi untuk menampung kos pembedahan tulang kaki Adam bagi membolehkan dia berdiri dan berjalan seperti kanak-kanak lain.

“Doktor Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) tempat Adam menerima rawatan susulan setiap bulan yang mencadangkan pembedahan dilakukan di Bangkok.

“Saya dan isteri (Suhaila Suid, 35) akan terus berusaha mencari dana agar pembedahan anak dapat dibuat secepat mungkin,” katanya ketika ditemui, semalam.

Mohd Nor Hafiz mengharapkan lebih ramai tampil membantu menampung kos pembedahan Adam.

Orang ramai yang ingin menyumbang dan mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi Mohd Nor Hafiz di talian 011-16650548.

Sebelum ini, Harian Metro pernah melaporkan penderitaan Adam yang menghidap penyakit tulang kaki bengkok dan memerlukan kos RM31,000 untuk menjalani pembedahan.

Lebih malang, Adam turut menghidap lima komplikasi kesihatan lain iaitu sindrom noonan (kelainan genetik), jantung berlubang, angin pasang, jangkitan kuman dalam paru-paru dan talasemia.

Disiarkan pada: October 30, 2019 @ 6:45am
d