utama

10 individu didakwa [METROTV]

Oleh Nor Azura Abdul Jalil

SERAMAI 10 individu termasuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dihadapkan di Mahkamah Sesyen di beberapa negeri atas dakwaan berkaitan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Di MELAKA, Adun Gadek dan juga Exco negeri, G Saminathan, 34, Adun Seremban Jaya, P Gunasekaran, 60, dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Teknologi Hijau Melaka, S Chandru, 38, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan memberi sokongan kepada kumpulan itu dalam satu majlis di Dewan Kasturi Ayer Keroh, Jalan Utama, Taman Ayer Keroh Heights di sini pada jam 8.30 malam hingga 10.50 malam, 28 November 2018.

Saminathan turut didakwa dengan satu lagi pertuduhan iaitu memiliki item berkaitan LTTE di dalam sebuah telefon bimbit di Pejabat Exco Perpaduan Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna, Jabatan Ketua Menteri, Kompleks Seri Negeri pada jam 10.25 pagi, 10 Oktober lalu.

Chandru juga didakwa di Mahkamah Sesyen Alor Gajah atas pertuduhan memiliki item berunsur perbuatan keganasan atau berkaitan LTTE di dalam sebuah telefon bimbit di sebuah rumah di Kampung Bukit Balai pada jam 10.20 pagi, 12 Oktober lalu.

Di KUALA KANGSAR, S Arivainthan, 27, yang bekerja sebagai juruteknik dan pemandu teksi, V Balamurugan, 37, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan memberi sokongan kepada LTTE di dalam satu majlis di Dewan Majlis Perbandaran Kuala Kangsar, Cawangan Sungai Siput (U), jam 6.30 petang hingga 11.45 malam, pada 28 Disember 2014.

Selain itu, Balamurugan turut didakwa memiliki item berunsur perbuatan keganasan atau berkaitan LTTE dalam seunit telefon bimbit jenama Samsung Galaxy A7 di Perkarangan Stesen Teksi Sungai Siput (U) pada jam 9.40, 10 Oktober lalu.

Tertuduh itu juga didakwa memiliki dan mempamerkan item berunsur perbuatan keganasan atau berkaitan dengan LTTE di sebuah premis di No 52 Taman Bukit Medan, Sungai Siput (U) pada jam 9.50 pagi pada 10 Oktober lalu.

Di SEGAMAT, penghantar surat, S Teran, 38, yang bekerja di sebuah pejabat peguam, didakwa di Mahkamah Sesyen Segamat, atas pertuduhan memiliki item berunsur perbuatan keganasan atau berkaitan LTTE di alamat 10M, Jalan Genuang, Kampung Paya Pulai, di Segamat, 6.30 petang, 10 Oktober lalu.

Di SEPANG, seorang guru, R Sundram, 52, didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang kerana memiliki item berkaitan LTTE di No 21 Jalan 6, Taman Telok, Telok Panglima Garang dalam daerah Kuala Langat pada jam 2.30 petang, 12 Oktober lalu.

Di SELAYANG, seorang pengutip besi buruk, A Kalaimughilan, 28, didakwa atas dua pertuduhan memiliki item berkaitan LTTE masing-masing di alamat Jalan Anggerik 5D, Bukit Sentosa, Rawang pada jam 12.35 petang, 10 Oktober 2019 dan di dalam sebuah kereta jenis Mitsubishi di hadapan sebuah rumah di alamat No 7 Jalan Anggerik 5D, Bukit Sentosa, Rawang pada jam 9.30 pagi, tarikh yang sama.

Di BUTTERWORTH, dua lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan memiliki item berkaitan LTTE.

Pengawal keselamatan, M Pumugan, 28, didakwa memiliki item yang berunsurkan keganasan atau berkaitan LTTE di dalam telefon bimbitnya di kawasan parkir di Lorong Industri Ringan, Permatang Tinggi jam 3.16 petang, pada 12 Oktober lalu.

Manakala bagi pertuduhan kedua, Pumugan didakwa memiliki item yang berunsurkan keganasan membabitkan LTTE di sebuah rumah di Jalan Juru, Bukit Mertajam, pada jam 4.15 petang, tarikh sama.

Tertuduh kedua, M Thanagaraj, 26, didakwa memiliki item berunsur perbuatan keganasan membabitkan LTTE di dalam telefon iPhone 7 miliknya di sebuah restoran di Kawasan Perindustrian Bukit Minyak pada jam 10 pagi, 12 Oktober lalu manakala bagi pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa memiliki item berunsur perbuatan keganasan membabitkan LTTE di sebuah rumah di Taman Sejahtera, Seberang Perai Tengah, pada jam 11 pagi tarikh sama.

Bagi pertuduhan memberi sokongan, tertuduh masing-masing didakwa mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sepanjang hayat atau maksimum 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang digunakan atau diniat untuk digunakan untuk melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.

Manakala bagi pertuduhan memiliki item berkaitan pengganas, tertuduh masing-masing didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda dan dilucutkan mana-mana item itu, jika sabit kesalahan.

Mahkamah juga menetapkan 18 November dan 16 Disember depan untuk sebutan semula kes.

Tiada pengakuan direkodkan daripada semua tertuduh kerana mereka ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan kes-kes di bawah SOSMA akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

Pengakuan tertuduh akan direkodkan di Mahkamah Tinggi kemudian.

Semua tertuduh juga tidak boleh dijamin.

Disiarkan pada: October 30, 2019 @ 7:00am
d