utama

'Netizen' guris hati kami

Oleh Mohd Sabran Md Sani

“BUDAK-BUDAK itu (lapan mangsa basikal lajak), dia sudah ‘bayar’ kesalahan dengan nyawa. Kenapa warganet masih perlu menghukum kami?” kata Nur Cahaya Amrul, 39.

Dia adalah ibu kepada Allahyarham Fauzan Halmijah, salah seorang daripada lapan remaja maut dalam kemalangan di Jalan Lingkaran Dalam di Johor Bahru, pada 18 Februari 2017.

Cahaya berkata, biarpun dia dan suami Halmijah Selamat, 49, menerima keputusan mahkamah, namun naluri keibuannya terguris dengan komen negatif dilemparkan netizen.

“Hati saya terguris, semua komen negatif dikongsikan di Facebook (FB) memburuk-burukan orang tua (keluarga kepada mangsa kemalangan maut).

“Dari awal kes, orang menyalahkan orang tua dan kesan emosi tidak sehebat dulu kerana ketika itu saya tidak memiliki telefon bimbit.

“Tetapi, ketika ini, kenyataan mereka mengguris hati saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Bukit Tropika di Johor Bahru, hari ini.

Ibu kepada lima anak itu berkata, dia sudah dua tahun memendam perasaan sedih kerana pandangan sinis masyarakat.

“Macam saya, sebaik ibu bapa pelajar selesai mengambil anak mereka, barulah saya ambil anak di sekolah.

“Saya tidak mahu mendengar soalan berulang yang mempersoalkan mengapa anak (arwah) berada di sana,” katanya.

Menurutnya, jika berdepan soalan seperti itu, dia cuba membalas ringkas, apa yang berlaku sudah ketentuan Allah.

“Pernah saya membalas, awak tanyalah malaikat maut, kenapa dia ambil anak saya kat sana (lokasi kemalangan)? Saya pun tak tahu.

“Kalau saya tahu kematian akan datang, mungkin mudah. Sebaliknya, kita tidak tahu mati itu bila dan tempatnya di mana.

“Kalau boleh semua nak (mati) husnul khatimah (pengakhiran yang baik). Allah dah tetapkan macam itu (cara kematian) dan kita tidak tahu,” katanya.

Menurutnya, paling mengguris hatinya, sebaik membaca komen netizen sejurus mahkamah membebaskan jurujual wanita yang terbabit insiden itu.

“Bukan disebabkan apa yang majistret cakap (putuskan) tetapi komen (netizen dalam) FB.

“Emosi saya bergoncang (berdepan cemuhan masyarakat yang memberi komen negatif) tengah hari itu,” katanya.

Menurutnya, pihak keluarga seakan tidak percaya dengan keputusan kes berkenaan.

“Saya bukan saja tidak lalu makan, malah kepala sakit membaca komen melampau netizen.

“Bagilah komen yang berfaedah. Kalau tidak berfaedah bagi pengajaran pun tidak apa. Kami boleh terima, tapi jangan kutuk.

“Paling mengejutkan yang beri komen negatif adalah Muslim yang lebih tahu mengenai perbuatan itu (beri komen negatif),” katanya.

Menurutnya, warganet sepatutnya mendoakan semua arwah bukannya menghentam keluarga yang masih bersedih dengan kehilangan insan tersayang.

Dalam kejadian 18 Februari 2017, lapan remaja lelaki berbasikal maut apabila dirempuh kereta di Jalan Lingkaran Dalam bersebelahan Tanah Perkuburan Mahmoodiah jam 3 pagi.

Semua mangsa berusia 13 hingga 17 tahun maut di tempat kejadian manakala dua lagi parah.

Pada 28 Oktober lalu, Mahkamah Majistret Johor Bahru, melepas dan membebaskan jurujual wanita, Sam Ke Ting, 24 daripada tuduhan memandu secara melulu hingga mengakibatkan kematian semua mangsa.

Berita berkaitan

Tragedi basikal lajak: 'Kami kesal, terkilan'

Tragedi basikal lajak: Pemandu bebas tuduhan [METROTV]

Tragedi basikal lajak: Keluarga tidak dimaklumkan keputusan

Disiarkan pada: October 30, 2019 @ 2:48pm
d