utama

Beratnya dugaanmu Hanum...

Oleh Redzuan Muharam

KEADAAN fizikal Mardhiyah Hanum Mas Hezrin, tiga tahun tidak seperti kanak-kanak lain kerana menghidap hydrocephalus atau lebihan cecair dalam otak yang menyebabkan saiz kepalanya lebih besar berbanding bayi normal ketika dilahirkan.

Malah, Mardhiyah Hanum lumpuh separuh badan kerana mengalami spina bifida (kecacatan tulang belakang) dan keadaan itu menyebabkan belakang badannya dimasukkan besi bagi menyokong serta meluruskan tulang bengkok.

Meskipun begitu, Mardhiyah Hanum tiada masalah untuk makan dan minum susu, cuma tidak boleh bergerak sendiri tanpa bantuan kerusi roda.

Bapanya, Mas Hezrin Md Salmi, 37, yang menetap di Permas Jaya, Johor Bahru berkata, penyakit anaknya dikesan doktor ketika isterinya, Maznah Idzuddin, 36, menjalani pemeriksaan di klinik kesihatan kerana demam panas sewaktu kandungan berusia lima bulan.

Katanya, hasil pemeriksaan awal mendapati terdapat garisan di kepala dan bagi mendapatkan kepastian, dia dan isteri kemudiannya ke Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru untuk pengesahan lanjut.

“Sebaik ke hospital berkenaan, isteri terus dimasukkan ke wad kecemasan sebelum ditahan di Unit Rawatan Rapi (ICU) kerana disahkan menghidap denggi.

“Pada waktu itu, saya ada bertanya kepada doktor mengenai keadaan bayi di dalam kandungan isteri, tetapi tidak mendapat pengesahan secara terperinci sehingga diberitahu kemungkinan anak kami dilahirkan dengan kepala besar ketika kandungan berusia tujuh bulan.

“Mulanya, kami memang sedih dan hilang semangat apabila mendapat tahu mengenai perkara itu, tetapi cuba positif dengan memberi sokongan antara satu sama lain.

“Jauh di sudut hati, kami masih berharap ada keajaiban tetapi reda dengan ketentuan Allah apabila melihat keadaan Mardhiyah Hanum selepas dilahirkan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Mas Hezrin berkata, disebabkan penyakit berkenaan, anak bongsunya itu terpaksa menjalani pembedahan membuang ketumbuhan pada bahagian belakang badan seminggu selepas dilahirkan dan pemasangan alat bantuan, ‘Ommaya Shunt’ iaitu sejenis tiub berfungsi membawa lebihan air daripada otak secara manual.

Katanya, sebulan kemudian pembedahan VP Shunt pula dilakukan iaitu pemasangan tiub kekal di kepala bagi membolehkan lebihan air mengalir ke perut dan keluar melalui air kencing.

“Tidak lama selepas pembedahan itu, tulang belakang Hanum (panggilan untuk Mardhiyah Hanum) membonjol dan keadaan itu memaksa saya dan isteri memilih melakukan pembedahan memasukkan implan besi pada 2 April lalu sebagai alternatif membuang bonjolan berkenaan.

“Lagipun, bonjolan itu kerap melecet dan membataskan pergerakan Hanum, namun pembedahan kedua terpaksa dilakukan pada 29 April selepas besi di dalamnya patah.

“Bahagian berkenaan disimen selama tiga bulan untuk mengehadkan pergerakan Hanum dan kini, Hanum kembali aktif mungkin kerana selesa selepas simen dibuka.

“Satu pengalaman baru buat saya dan isteri kerana kali pertama berhadapan dengan situasi itu namun ia banyak mengajar kami erti kesabaran.

“Kami bersyukur kerana dipertemukan dengan pihak yang sudi membantu, salah seorangnya saintis UM, Dr Noraishah Mydin Abd Aziz yang banyak membantu Hanum,” “katanya.

Sementara itu, isterinya, Maznah berkata, bukan mudah untuknya menerima hakikat itu tetapi akur kerana yakin ada hikmah di sebalik ujian diberikan.

Malah, ibu kepada tiga anak itu enggan berputus asa dan terbuka menerima saranan pakar dalam pertemuan yang akan diadakan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Kuala Lumpur pada 25 November depan.

“Penjagaan Hanum sedikit sulit selepas berusia enam bulan kerana pada waktu itu, dia (Hanum) terpaksa kencing melalui tiub dan najisnya perlu dikorek kerana tidak lawas bagi mengelakkan buah pinggangnya membengkak.

“Bagaimanapun, keadaan kini beransur baik dan Hanum sudah boleh bermain sendiri selepas kami melatihnya berdikari menggunakan kerusi roda.

“Dia petah bercakap, tetapi pergerakannya perlu dipantau memandangkan besi di belakang badannya yang dipasang (pada 29 April lalu) sudah terkeluar.

“Saya harap kesakitan itu hanya sementara dan akan terus berikhtiar merawat Hanum kerana enggan dia hilang keyakinan apabila dewasa nanti hanya kerana keadaan fizikal tidak sama seperti orang lain," katanya.

Orang ramai yang berhasrat membantu keluarga ini boleh menghubungi Mas Hezrin di talian 018-7660023 atau menyumbang menerusi akaun Affin Bank bernombor 205730219270 atau Public Bank bernombor 6923072331 atas nama Mas Hezrin Md Salmi.

Disiarkan pada: October 30, 2019 @ 10:09pm
d