utama

Nafiz azam bahagiakan ibu

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

MUHD Nafiz Muaz Mat Nasir, 21 atau Nafiz Muaz tak kisah jika tidak meraih sebarang anugerah dalam dunia lakonan sebaliknya mahu ‘memenangi’ hati ibunya.

Anak sulung daripada lima beradik ini berkata, wanita hebat bernama Naimah Baharuddin, 39, adalah individu penting membuatkan dirinya bergelar pelakon.

Menurut Nafiz , selepas kematian bapa, Mat Nasir Desa, 40, akibat demam panas pada 2014, mereka sekeluarga melalui kehidupan yang sukar.

“Ketika itu saya berusia 16 tahun dan mempunyai empat adik yang masih kecil. Ibu berkorban segala-galanya membesarkan kami dengan bekerja kilang di Taman Kempas, Sungai Petani, Kedah,” katanya.

Terdahulu, katanya, bapanya yang juga peniaga char kuetiau menguruskan keluarga, namun selepas meninggal dunia mereka bagai hilang punca.

“Saya nampak raut wajah ibu yang keletihan dan berazam membantunya. Masakan tidak, sudah 22 tahun ibu bekerja kilang dan tidak menikmati zaman muda,” katanya pada sesi fotografi bersama Harian Metro di Studio The New Straits Times (M) Berhad, Kuala Lumpur, semalam.

Kata Nafiz, kesukaran itu memaksanya menyertai Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) pada 2016 dan bersyukur layak mara ke peringkat akhir.

Biarpun ketika itu dia meraih 4A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) selain menerima tawaran menyambung pengajian di universiti, Nafiz terpaksa melupakan hasrat itu bagi membantu keluarga.

“Inilah realiti kehidupan dan saya perlu memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga. Alhamdulillah, dengan rezeki yang ada saya mahu membahagiakan ibu dan adik,” katanya.

Selain Nafiz, adik lelakinya yang berusia 19 tahun direkrut sebagai anggota polis di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di Kuala Lumpur.

Apabila berada dalam industri hiburan, Nafiz mahu mengelak sebarang kontroversi yang akan memalukan keluarga selain sentiasa ingat asal usulnya.

“Jika ada masa terluang, saya akan pulang ke kampung untuk menjenguk keluarga. Apabila bertemu rakan, saya tidak akan meletakkan diri sebagai selebriti,” katanya yang gemar menunggang motosikal dan bermain futsal.

Memandangkan dirinya pelajar ‘nakal’ sebelum ini, bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pasir ini akan menemui semua gurunya untuk meminta maaf malah mereka turut berbangga dengan pencapaiannya.

Pelakon utama Cinta Belum Tamat tempoh ini turut berazam menjadi pelakon serba boleh, berdisiplin dan memiliki kesungguhan dalam bekerja.

“Sepanjang tiga tahun menjadi pelakon, saya dapat membezakan baik buruk dan menjaga diri. Artis manusia biasa, ada masanya kami letih dan mahu bersendirian.

“Jika bertemu peminat, kami perlu mengekalkan senyuman dan menjaga tingkah laku sepanjang masa,” katanya yang setakat ini sudah membintangi 19 drama dan telefilem antaranya Budak Boys, Cinta Tiada Ganti, Hilang Yang Kembali, Terima Kasih Ibu serta Hijrah Itu Indah.

Menyedari teknologi berkembang pesat, Nafiz turut berhati-hati dengan media sosial terutama isu tular membabitkan selebriti tanah air.

“Saya dapati ramai menyalahgunakan media sosial. Pantang ada peluang, mereka akan cari kesalahan orang lain. Disebabkan itu saya tidak berkongsi kehidupan peribadi dengan orang ramai,” katanya.

Berkongsi pengalamannya, Nafiz memberitahu seorang wanita mengirimkan mesej di Instagram (IG) untuk mengetahui siapa teman wanitanya baru-baru ini selain pernah dihamburkan kata-kata kesat.

“Dalam pada berhati-hati pun orang masih cari fasal. Saya pula tak suka serabutkan fikiran, jadi lebih baik mengelak dan hanya fokus pada karier,” katanya.

Menyentuh perkembangan terkini, Nafiz kini menjalani penggambaran drama romantik komedi berjudul Cik Propa vs Cik Perampas.

Menerusi drama 20 episod yang memulakan penggambaran pada 20 September lalu itu, dia memegang watak utama.

Selain itu, Nafiz teruja apabila drama lakonannya, Terima Kasih Ibu layak bertanding Anugerah Skrin pada tahun ini. Drama itu turut dibintangi Azhan Rani, Nad Zainal dan Adam Corie.

“Saya puas berlakon dalam drama ini kerana dapat bergandingan dengan ramai pelakon hebat.

“Azhan Rani, Nad dan Adam Corie pula tidak lokek ilmu terutama bagaimana mahu menjiwai watak dengan berkesan,” katanya yang menjadikan Bront Palarae sebagai idola.

Disiarkan pada: November 1, 2019 @ 5:20am
d