utama

Empat VIP dalam radar

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin

EMPAT individu dalam kalangan golongan kenamaan (VIP) bergelar Datuk dan Datuk Seri berada dalam ‘radar’ pihak berkuasa selepas disyaki terbabit dalam jenayah pemerdagangan haiwan liar dilindungi.

Sumber berkata, individu terbabit turut berada dalam ‘senarai merah’ selepas dikaitkan dengan penyeludupan gading gajah dan tanduk badak sumbu Afrika sebelum ini.

“Mereka dalam pemantauan dan didapati licik menyembunyikan aktiviti dan identiti.

“Berdasarkan siasatan sebelum ini, ada antara mereka menggunakan alamat premis palsu bertujuan menghapuskan jejak kegiatan haram dilakukan,” katanya.

Menurutnya, kecekapan Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) berjaya mematahkan beberapa cubaan menyeludup masuk bahagian hidupan liar ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), sebelum ini.

“Risikan mendapati, semua tanduk dan gading gajah diseludup masuk ke Malaysia ini ada kaitan dengan beberapa individu terbabit,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, pihaknya akan meneruskan kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) bagi membanteras jenayah pemerdagangan dan pemburuan hidupan liar dilindungi.

Menurutnya, operasi bersama bermula September lalu menampakkan hasil memberangsangkan apabila ramai pemburu tempatan dan warga asing ditahan di seluruh negara.

“Saya memberi amaran kepada mana-mana individu yang menjalankan aktiviti pemburuan haram hidupan liar dan aktiviti pencerobohan supaya menghentikan aktiviti terbabit atau bakal berhadapan dengan tindakan undang-undang yang tegas.

“Adalah diharapkan orang ramai akan terus memberikan sokongan dan bantuan dengan menjadi mata dan telinga Perhilitan dan PDRM bagi membantu program OBK ini melalui penyaluran maklumat dalam usaha melindungi khazanah negara supaya tidak diancam kepupusan.

“Semua maklumat boleh disalurkan melalui Perhilitan Hotline 1-800-88-5151 atau e-aduan melalui laman www.wildlife.gov.my,” katanya.

Kelmarin, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mendedahkan ada VIP terbabit dalam kegiatan pemburuan haram hidupan liar sebagai hobi.

Disiarkan pada: November 1, 2019 @ 6:45am
d