utama

Buru piala keramat

Oleh Firdaus Hashim dan Syazwan Msar

Dua tahun lalu, kapten Johor Darul Ta’zim (JDT), Harris Harun dipinjamkan ke Ce L’Hospitale untuk berkelana mencari pengalaman dalam Liga Divisyen Dua Sepanyol, sekali gus terlepas detik indah menjulang Piala Malaysia bersama skuad Harimau Selatan.

Kini, pemain kelahiran Singapura itu hanya tinggal satu halangan saja lagi untuk menjulang piala tertua di Asia Tenggara pada edisi 2019, sekali gus menunaikan hasratnya yang terpendam itu.

Sudah banyak kejayaan dikecapi pemain berusia 28 tahun itu termasuk menjulang kejuaraan Liga Super dan Piala FA, namun setakat ini belum pernah mendakap Piala Malaysia sepanjang berkhidmat untuk JDT.

“Sudah tentu bila beraksi di pentas final setiap pemain mahukan kemenangan dan ia tiada kaitan dengan kemampuan individu semata-mata, namun lebih kepada kerja berpasukan.

“Objektif kami pada perlawanan final ini adalah mahu menang dan bersedia menghadapi perlawanan esok (hari ini) tanpa sebarang masalah.

“Ini adalah perlawanan besar dan saya sebelum ini pernah bekerjasama dengan pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak ketika beraksi bersama pasukan Home United, gaya dan taktikal permainan dia seperti yang anda lihat Kedah bermain sekarang ini, ” katanya.

Baddrol mahu tebus duka 2017

Kedukaan dua tahun lalu masih segar di ingatan ketua pasukan Kedah, Baddrol Bakhtiar apabila terpaksa melepaskan trofi Piala Malaysia kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas tewas 0-2 pada pentas final di Stadium Shah Alam.

Walaupun kenangan pahit itu sudah lama berlalu, Baddrol bertekad menebus kehampaan itu apabila kedua-dua pasukan sekali lagi bertembung pada aksi final piala keramat itu di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.

Jelas Baddrol, dia akan bermati-matian dalam aksi kemuncak itu demi memastikan misi menjulang trofi kedua musim ini menjadi kenyataan selepas memenangi Piala FA pada Julai lalu.

“Pertama sekali saya bersyukur kerana layak ke final, tapi bertemu dengan satu pasukan yang kuat. Sasaran kami pada malam esok (malam ini) adalah kami akan bermain tanpa tekanan dan yang penting kami kena menikmati aksi final.

“Mungkin satu sasaran saya juga (tebus kekalahan dua tahun lalu) pada malam esok (malam ini). Insya-Allah rezeki berpihak kepada pasukan Kedah.

“Motivasi kami tetap sama dan satu tujuan iaitu kami berjaya mengharmonikan pasukan pada tahun ini. Dalam masa 10 bulan, kami dapat bentuk satu pasukan menakjubkan.

“Saingan sudah tentu sengit, saya perlu bekerja keras menjaga dua pemain tengah JDT yang berkualiti. Kami perlukan semangat juang tinggi menentang JDT,” katanya.

Disiarkan pada: November 2, 2019 @ 6:00am
d