utama

Cantiknya tulisan khat hasil tangan Cikgu Izzuddin

Oleh Amirul Haswendy Ashari

ENGGAN mengharapkan simpati, Mohd Izzuddin Zainal, 33, yang disahkan menghidap penyakit kanser Limfoma sejak April tahun lalu, mengambil tempahan membuat tag nama tulisan khat dari atas katil hospital.

Kisah Mohd Izzuddin mendapat perhatian warganet selepas seorang rakannya berkongsi kisah ketabahannya di laman Facebook, mulai tular sejak semalam.

Pada masa ini, guru yang juga bapa kepada dua anak itu sedang menjalani rawatan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).

Isteri Mohd Izzuddin, Suzana Muhamad Tab, 34, ketika dihubungi Harian Metro, memberitahu suaminya terpaksa bergantung kepada mesin oksigen sepanjang masa sejak September lalu dan pernah ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama 18 hari.

“Walaupun terlantar sakit dan masih menerima rawatan, suami masih berusaha mencari rezeki dengan mengambil tempahan membuat tag nama tulisan khat menggunakan tangan kanan kerana tangan kiri jadi lemah akibat kesan rawatan biopsi dan radioterapi.

“Kami bermula perniagaan kecil-kecilan membuat tag nama sebab saya menolak cadangan rakan suami untuk mewujudkan tabung bantuan.

“Faktor utama sebab kami nak kena ada pendapatan sokongan memandangkan cuti bergaji suami akan tamat Mac tahun depan, sedangkan perjalanan rawatan dan tempoh kuarantin masih panjang,” katanya.

Menurut Suzana, jualan ini dibuat bukan semata-mata mahu membeli mesin oksigen mudah alih, katil dan kerusi roda tetapi membeli ubat yang tidak ditanggung pihak hospital.

Setakat ini, mereka sudah membelanjakan lebih RM12,000 membeli ubatan ‘non formulary’ sejak September hingga Oktober lalu.

“Saya minta, kali ini kami nak berusaha dengan menjual barang. Rakan suami yang membantu mempromosi perniagaan kami sehingga jadi tular,” katanya.

Imbas kembali, kisah Mohd Izzuddin Zainal pernah menjadi muka depan ruangan Wanita Metro (WM), Harian Metro pada 26 September lalu.

Dalam laporan itu, Suzana berkongsi pengalaman menjaga suami yang disahkan mengidap kanser Limfoma tahap empat pada April tahun lalu selepas hampir lima bulan menderita kesakitan tanpa punca.

Malah Harian Metro juga pernah melaporkan pasangan ini turut menjadi mangsa insiden pemandu bas Rapid KL yang melanggar beberapa kenderaan di Jalan Ampang, 16 Ogos tahun lalu.

Disiarkan pada: November 2, 2019 @ 10:00pm
d