utama

Rancang konsert istimewa

Oleh Ramlah Zainal

SEMUA artis ada impian untuk mengadakan konsert atau persembahan istimewa yang melengkapi profil seni masing-masing.

Menurut penyanyi popular, Datin Alyah, 38, dia juga teringin mengadakan konsert sempena meraikan ulang tahun ke-20 pembabitannya dalam dunia muzik pada tahun depan.

“Saya akui tidak mudah untuk buat konsert mahupun ‘showcase’ pada zaman kegawatan pasaran album.

“Namun, saya akan bekerja keras merealisasikan konsert itu kerana percaya dengan rezeki kurniaan Allah SWT,” katanya.

Mengulas lanjut perkara itu, Alyah atau nama sebenarnya, Noor Hasliah Abu Hassan berkata, ia masih dalam perancangan.

“Buat masa ini, saya cari penaja yang berminat untuk membantu merealisasikan konsert saya nanti.

“Saya juga mengalu-alukan pihak korporat atau orang perseorangan yang mahu bekerjasama,” katanya.

Ditanya lokasi konsert pula, kata Alyah, ia belum diputuskan lagi.

“Ada cadangansama ada Istana Budaya atau stadium, tetapi belum diputuskan lagi.

“Mereka yang berminat bekerjasama dalam konsert ini boleh berhubung dengan pengurusan saya, Warner Music,” katanya.

Selain konsert, Alyah juga bakal melancarkan koleksi minyak wanginya iaitu Queen Alyah pada Januari depan.

“Selain nyanyian, saya juga membuka bisnes sebagai jaminan masa depan.

“Antaranya bisnes minyak wangi yang dibuat khusus buat peminat yang setia menyokong kerjaya saya,” katanya.

SINGLE BAHARU LEBIH RANCAK

Berbanding lagu Sesal Separuh Nyawa, menurut Alyah, single Meluruh kurang mendapat tempat di stesen radio tempatan.

Single Meluruh ciptaan Alyah, Helen Yap dan lirik oleh Slen manakala video muziknya mendapat sentuhan sutradara Ghaz Abu Bakar.

“Saya tidak kesah lagu Meluruh lambat naik kerana masih giat dipromosikan.

“Meluruh akan menjadi lagu tema drama televisyen tidak lama lagi dan semoga ia membantu menaikkan lagi populariti lagu ini,” katanya.

Mengenai pembikinan lagu baharu pula, isteri pengarah muzik terkenal Datuk Ramli M.S ini juga terbuka untuk bekerjasama dengan komposer baharu berbakat besar.

“Saya mahu bekerja dengan komposer lain pula kerana mahukan kelainan. Antara komposer dalam senarai ialah Omar K.

“Saya mahu hasilkan lagu rancak dan berbeza daripada yang pernah dihasilkan sebelum ini,” katanya.

katanya.

Disiarkan pada: November 3, 2019 @ 5:01am
d