utama

Buruk imej Malaysia

Oleh Saiful Affendy Sapran

“KES ini memburukkan nama negara kerana kita sedang menganjurkan kejohanan bertaraf dunia,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali yang kecewa dengan kes kecurian di SIC ketika Grand Prix (GP) Malaysia, awal pagi kelmarin.

Jelas Razlan, segala persediaan termasuk tahap keselamatan sudah dipertingkatkan, namun masih ada pihak tidak bertanggungjawab melakukan aktiviti sedemikian.

“Kami sudah melaporkan perkara ini serta menyerahkan senarai barang-barang yang hilang kepada polis.

“Masih tidak pasti nilai sebenar barang yang hilang, tetapi semua pasukan dilindungi insurans,” katanya.

Jelas Razlan, berdasarkan maklumat awal yang diperoleh, kejadian itu berlaku sekitar jam 1 hingga 6 pagi kelmarin.

“Antara lima dan enam pasukan terbabit dengan insiden itu tetapi yang paling terkesan adalah pasukan Angel Nieto apabila banyak komponen yang hilang membabitkan jentera Moto2 dan Moto3,” katanya.

Razlan berkata, selepas mengadakan pertemuan bersama pasukan terbabit, pihaknya tidak menolak kemungkinan insiden itu dilakukan kumpulan yang arif dengan jentera kerana semua jentera yang digunakan di MotoGP adalah prototaip.

“Ada banyak komponen di dalam khemah pasukan, tetapi mereka seumpama tahu komponen apa yang hendak diambil dan apa keperluan komponen itu.

“Apapun saya serahkan sepenuhnya kepada polis untuk melakukan siasatan,” katanya.

Semalam sebuah portal antarabangsa melaporkan komponen yang dicuri itu termasuk set lengkap penyerap hentak, angkup, cakera brek, komputer riba, alat bengkel dan pemanas tayar.

Pengurus pasukan Angel Nieto, Gino Borsoi dipetik berkata, spring untuk fork dan penyerap hentak belakang turut dicuri.

Disiarkan pada: November 3, 2019 @ 6:30am
d