utama

'Nak jumpa 2 polis baik hati'

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

“SAYA kagum dengan sikap dua anggota polis yang sanggup membantu menolak kereta dalam keadaan hujan lebat. Jika diberi peluang, saya mahu jumpa mereka,” kata Muhammad Daniel Zamri.

Muhammad Daniel, 26, adalah individu merakam video dua anggota polis menolak kereta rosak di persimpangan lampu isyarat di Jalan Nilai dekat Sepang yang tular di laman sosial.

Menurutnya, dia merakam video apabila melihat situasi itu lalu memuat naik ke akaun Instagram miliknya bertujuan berkongsi tugas polis yang bersedia membantu masyarakat tanpa mengira waktu dan keadaan.

“Kejadian berlaku pada 6 petang pada 26 Oktober lalu. Saya dalam perjalanan menghantar kek kepada pelanggan di Nilai. Saya berhenti di persimpangan lampu isyarat dan secara kebetulan melihat seorang lelaki berpayung bersama dua anggota polis berhenti di laluan bertentangan.

“Selepas itu, dua anggota terbabit menolak kereta lelaki itu yang dipercayai rosak ke tepi jalan. Saya sempat rakam video sebelum lampu isyarat bertukar hijau.

“Pada masa itu, terdetik di hati saya rasa kagum dengan sikap anggota itu dan berniat untuk menghadiahkan kek, tetapi saya tidak kenal dan tidak tahu lokasi mereka bertugas.

“Sebab itu, saya muat naik video berharap ada orang mengenali mereka,” katanya ketika dihubungi di Seremban, ini.

Daniel yang menetap di Melaka berkata, dia tidak menyangka video berkenaan dikongsi secara meluas sehingga ramai netizen memuji, tetapi ada juga mengecam perbuatannya itu.

“Ada cakap kenapa saya rakam saja dan tidak bantu sedangkan ketika saya sampai di lokasi, dua anggota itu sudah pun membantu pemilik kereta itu. Tambah pula saya di laluan berbeza.

“Niat saya cuma mahu berkongsi kebaikan anggota itu. Orang selalunya berkongsi cerita negatif mengenai anggota polis, apa salahnya kita berkongsi perkara positif mengenai mereka,” katanya.

Daniel berharap dapat bertemu dengan anggota terbabit dan memberikan kek dijualnya bersama isteri secara percuma kepada warga balai polis tempat kedua-dua anggota itu bertugas.

Disiarkan pada: November 4, 2019 @ 6:43pm
d