utama

Gagal lagi ke Olimpik

Oleh Saiful Affendy Sapran

KAPTEN skuad hoki lelaki negara, Mohamad Sukri Abdul Mutalib mengakui dia serta barisan pemain lain sudah memberikan segala-galanya, tetapi masih belum mencukupi untuk menewaskan Britain pada aksi kelayakan Sukan Olimpik Tokyo di London.

Kegagalan itu melengkapkan kemarau 20 tahun Malaysian Tigers ke temasya sukan terbesar dunia itu sejak kali terakhir pada edisi 2000 di Sydney.

“Britain pasukan cukup baik. Pada aksi pertama kami ketinggalan dengan tiga jaringan dan ia memberikan lebih tugasan buat kami untuk menyerang pada aksi kedua ini. Walaupun ia tidak menjadi seperti diharapkan, tetapi saya tetap berbangga dengan usaha keras seluruh pasukan,” katanya.

Skuad negara tewas 1-4 pada perlawanan pertama, sekali gus berdepan tugas sukar untuk bangkit pada aksi timbal balik. Bagaimanapun hasrat untuk melihat kebangkitan itu gagal selepas anak buah Roelant Oltmans tewas 2-5 pada aksi kedua kelmarin, sekali gus menyaksikan Britain menewaskan Malaysia menerusi agregat 9-3.

Pada perlawanan yang berlangsung di Pusat Hoki dan Tennis Lee Valley itu, Britain di depan menerusi penalti stroke disempurnakan Alan Forsyth minit ke-9 sebelum Sam Ward meledak jaringan padang dua minit kemudian. Mohd Fitri Saari memberi harapan apabila menyempurnakan pukulan sudut penalti minit ke-24 tetapi Ward menambah gol ketiga Britain minit ke-31.

Pakar pukulan sudut penalti negara, Razie Rahim menyumbang gol kedua minit ke-40 tetapi Forsyth terus memadamkan impian Malaysian Tigers apabila menambah dua gol minit ke-56 dan 57 sekali gus melakar hatrik.

Disiarkan pada: November 5, 2019 @ 6:01am
d