utama

Makin laju makin ketagih

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

PERASAAN teruja memuncak apabila basikal lajak meluncur laju meninggalkan rakan lain mendorong aktiviti terbabit dijadikan hobi segelintir kanak-kanak dan remaja bagi mengisi masa lapang.

Kanak-kanak yang mahu dikenali sebagai Aiman, 12, berkata walaupun menyedari risiko dan bahaya bermain basikal lajak namun dia tidak dapat menolak keinginannya untuk berlumba bersama rakan.

“Saya memang suka main basikal lajak selain dapat lihat siapa yang paling laju antara kami (rakan) ketika berlumba.

“Kami tahu bahaya main basikal itu, namun keseronokan diperolehi menyebabkan perkara (keselamatan) itu tidak dipedulikan.

“Malah, saya sudah berkali-kali terjatuh ketika bermain basikal namun tidak pernah mengalami kemalangan atau dilanggar kenderaan lain kerana hanya main di kawasan perumahan,” katanya.

Aiman berkata, dia menukar dan membuang komponen tertentu pada basikal dibeli bapanya bagi menjadikannya sebagai basikal lajak.

“Mula-mula basikal ini biasa-biasa saja, tetapi saya tukar rim dan merendahkannya selain membuang brek serta loceng supaya kelihatan ranggi.

“Ada ubah suai dilakukan saya sendiri bersama rakan selain dihantar ke sebuah kedai basikal di Batu Caves dengan upah antara RM2 hingga lebih RM100 bergantung kepada komponen yang diubah suai,” katanya.

Aiman antara lima individu ditahan dalam operasi oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, Sabtu lalu.

Mereka ditahan di sekitar Taman Berjaya, di sini, dan polis merampas lima basikal lajak ditunggang mereka mengikut Kaedah 42(1)(a) LN165/59.

Kanak-kanak lain yang mahu dikenali sebagai Aris, 11, berkata dia mengikat perut semata-mata mahu mengumpul wang bagi membeli basikal lajak kerana ‘taksub’.

Katanya, dia mengumpul wang belanja sekolah diberikan ibu bapanya untuk membeli basikal daripada rakannya.

“Sebelum ini, saya ada basikal yang dibelikan oleh ibu. Namun, basikal itu sudah tidak boleh
digunakan kerana rosak akibat terlalu kerap diubah suai untuk menjadi basikal lajak.

“Disebabkan itu, saya mengumpul duit belanja sekolah diberikan ibu bapa sebanyak RM4 sehari sejak tahun lalu untuk membeli basikal lajak pada harga RM200,” katanya.

Katanya, ibu bapa memang melarangnya bermain basikal lajak, namun dia sentiasa mengambil peluang untuk keluar rumah walaupun pernah ditahan polis, sebelum ini.

“Namun, saya tetap keluar bersama rakan. Kadang-kadang saya terpaksa menipu mereka (ibu bapa) memberitahu mahu keluar ke kedai,” katanya.

Perangi tanpa kompromi

Perangi habis-habisan. Itu usaha dilakukan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman dalam membanteras aktiviti basikal lajak yang semakin berleluasa.

Operasi berterusan itu akan dilakukan di semua lokasi tumpuan seluruh negara yang dikesan kerana dijadikan sebagai ‘litar’ bagi aktiviti berbahaya berkenaan.

Berdasarkan rekod, 116 basikal lajak dirampas menerusi 13 operasi di seluruh negara bermula Januari hingga Oktober lalu.

Pengarah JSPT Bukit Aman Datuk Azisman Alias berkata, operasi itu membabitkan enam negeri iaitu Pulau Pinang, Perak, Selangor, Johor, Kelantan dan Wilayah Persekutuan Labuan.

“Sebanyak empat operasi dilakukan di Pulau Pinang, Selangor (4), Perak (1), Johor (1), Kelantan (2) dan Labuan (1). Daripada 13 operasi berkenaan, sebanyak 116 basikal dirampas.

“Jumlah itu membabitkan 32 basikal dirampas di Labuan, Kelantan (32), Selangor (22), Pulau Pinang (16), Perak (9) dan Johor (5),” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini, semalam.

Azisman berkata, sepanjang tahun lalu, 93 operasi dilakukan dan 105 basikal lajak dirampas di seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, 84 operasi dilakukan di Johor, tujuh operasi di Kedah dan dua operasi di Selangor.

“Dalam tempoh itu, 105 basikal lajak dirampas membabitkan 84 rampasan di Johor, 14 rampasan di Selangor dan tujuh rampasan di Kedah,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya mengenal pasti 26 lokasi tumpuan dijadikan litar basikal lajak di seluruh negara.

Katanya, semua lokasi berkenaan membabitkan lapan negeri iaitu Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Selangor, Pahang, Perak, Johor, Kelantan dan Sabah.

“Daripada jumlah itu, 10 lokasi tumpuan di Pulau Pinang, Negeri Sembilan (4), Selangor (3), Pahang (3), Perak (3), Johor (1), Kelantan (1) dan Wilayah Persekutuan Labuan (1).

“Antara lokasi terbabit adalah Jambatan Raja Nala Klang Utara di Selangor, Jalan Bukit Sekilau di Pahang, Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) berhampiran susur Ampangan di Negeri Sembilan dan Dataran Bukit Liki di Johor.

“Selain itu, Machang Bubuk di Pulau Pinang, Jalan Pasir Puteh di Kelantan, Jalan Pohon Batu Pancur Hitam di Labuan dan Taman Tasik Taiping, Perak turut menjadi lokasi tumpuan,” katanya.

Katanya, aktiviti basikal lajak banyak mendatangkan implikasi buruk terhadap keselamatan penunggangnya dan pengguna jalan raya lain.

Ibu bapa cuai didenda(/b>

Ibu bapa berdepan tindakan undang-undang atas kesalahan cuai dan pengabaian jika anak-anak mereka ditahan terbabit dengan aktiviti basikal lajak.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Azisman Alias berkata, tindakan boleh diambil terhadap mereka mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2001.

Katanya, mereka berdepan hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun jika disabitkan kesalahan terbabit.

“Mana-mana individu memelihara kanak-kanak termasuk ibu bapa yang menganiaya, mengabai, membuang atau mendedahkan hingga menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal atau emosi boleh diambil tindakan.

“Ia termasuk membenarkan kanak-kanak terbabit dianiaya, diabaikan, dibuang dan didedahkan sedemikian.

“Justeru, sudah menjadi tanggungjawab ibu bapa bagi memantau aktiviti anak-anak supaya tidak terjebak dengan kegiatan basikal lajak,” katanya dalam kenyataan, di sini.

Azisman berkata, tindakan penguat kuasaan dilaksana melalui pengeluaran saman kepada penunggang basikal lajak berdasarkan beberapa peruntukan undang-undang.

“Berdasarkan undang-undang Kaedah 35(2) dan Kaedah 35(3) LN165/59, setiap basikal ditunggang perlu dipasang lampu di hadapan dan belakang bagi menunjukkan cahaya putih serta merah boleh dilihat dalam jarak munasabah.

“Menurut Kaedah 42(1) LN165/59 pula, tiada seorang pun boleh menunggang basikal di atas jalan melainkan dilengkapi dengan brek efektif yang beroperasi secara berasingan pada kedua-dua tayar dan loceng,” katanya.

Katanya, tangkapan dan sitaan boleh dilakukan mengikut Seksyen 54 Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membolehkan penunggang basikal lajak ditangkap tanpa waran seperti diperuntukkan Seksyen 112(1)(a) akta sama.

“Namun tindakan tidak boleh diambil dari segi undang-undang merujuk kepada Seksyen 82 Kanun Keseksaan iaitu tidak menjadi kesalahan apa jua dilakukan kanak-kanak berusia kurang 10 tahun,” katanya.

Disiarkan pada: November 5, 2019 @ 10:00am
d