utama

Pembunuh kucing terima balasan

Oleh Sarah Zulkifli

PEKERJA kontrak yang videonya tular kerana membunuh kucing bunting dalam mesin pengering pakaian dihukum penjara 34 bulan dan didenda RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen Selayang, hari ini.

Hakim Hakim Rasyihah Ghazali menjatuhkan hukuman itu terhadap K Ganesh, 42, selepas mendapati pihak pendakwan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap tertuduh.

Mahkamah memerintahkan hukuman bermula hari ini dan tambahan penjara empat bulan lagi jika gagal membayar denda itu.

Dalam penghakimannya, Nur Hafizah berkata, keputusan dibuat selepas mahkamah mendengar dan meneliti keterangan semua saksi pendakwaan dan pembelaan secara maksima serta hujahan lisan oleh kedua-dua pihak.

“Mahkamah mengambil kira tertuduh adalah individu yang memasukkan kucing ke dalam mesin pengering pakaian dan bertindak mengunci haiwan itu ketika kejadian.

“Hukuman yang diberikan ini diharap dapat memberikan pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat supaya tidak menzalimi haiwan,” katanya.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan kejamnya atau secara tidak munasabah membuat atau meninggalkan untuk melakukan apa-apa perbuatan menyebabkan kesakitan atau penderitaan yang tidak sepatutnya kepada seekor kucing.

Kejadian di premis Dobi Queen Self Service Laundry Taman Gombak Ria, Jalan Gombak Ria, Taman Gombak Ria, Batu Caves, antara 12.54 tengah malam dan jam 1 pagi, 11 September 2018.

Dia didakwa mengikut Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 29(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Seramai lapan saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan dipanggil memberikan keterangan sepanjang perbicaraan kes itu yang bermula pada 3 April lalu.

Terdahulu, Peguam S Muthuveeran yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mengurangkan hukuman atas alasan anak guamnya sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak berusia setahun selain menjaga bapanya berusia 69 tahun yang juga Orang Kurang Upaya (OKU).

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Ain Shafie dan Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor, Roslan Mohd Isa memohon hukuman berat kerana tertuduh tidak menghormati nyawa haiwan selain kucing langsung tidak mendatangkan apa-apa bentuk ancaman keselamatan kepada tertuduh.

“Untuk rekod, kucing yang juga spesis domestik ada hak untuk hidup,” katanya.

Mahkamah turut membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sehingga rayuan di Mahkamah Tinggi dengan menaikkan jaminan daripada RM12,000 kepada RM20,000 serta rayuan difailkan sebelum atau pada 12 November ini.

Pada 17 Januari lalu, rakan tertuduh, A Mohanraj, 42, pemandu teksi dipenjara dua tahun selepas menukar pengakuan bersalah atas kesalahan sama dan seorang lagi lelaki, SS Satthiya, 26, dilepaskan tanpa dibebaskan daripada pertuduhan sama.

Pada tahun lalu, tular satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan tindakan kejam tiga individu yang membunuh kucing yang dipercayai bunting dengan cara memasukkannya ke dalam mesin pengering berkenaan.

Perbuatan tidak berperikemanusiaan tersebut kemudian tersebar di media sosial dan menerima kecaman masyarakat sebelum Persatuan Haiwan Malaysia bertindak membuat laporan polis dan mereka ditahan pihak polis.

Berita berkaitan

Kejamnya! [METROTV]

Disiarkan pada: November 5, 2019 @ 1:53pm
d