utama

Johan kembali ke alam fantasi

Oleh Rudy Imran Shamsudin

SELEPAS membintangi bangsawan kontemporari Pawana Isabella yang dipentaskan September lalu, Mohd Yazid Lim Mohamad Aziz atau Johan bakal kembali ke Istana Budaya bagi menjayakan pementasan Siti Di Alam Fantasi.

Pementasan yang pertama kali dipersembahkan pada 1998 itu pernah dibintangi Johan sewaktu ia dipersembahkan buat kali ketiga di Istana Budaya 10 tahun lalu.

Menilai dari sudut itu, Johan bukan asing dengan karya yang bakal dipentaskan bermula 21 hingga 26 November ini di Panggung Sari.

Ditemui di majlis sidang akhbar Siti Di Alam Fantasi, kata Johan, waktu itu dia digandingkan bersama Ebby Yus dan Liyana Jasmay.

Kali ini, dua watak utama pementasan muzikal kanak-kanak itu akan dilakonkan Janna Nick dan Abam dari kumpulan Bocey. Turut membintangi teater muzikal kanak-kanak itu ialah Issey Fazlisham, Fizo Omar, Datin Paduka Umie Aida, Datuk Ziela Jalil, Erma Fatima, Ozlynn Waty dan Isma Halil.

Jelas Johan, tahun ini dia banyak membintangi drama teater kerana rindu mahu beraksi dalam persembahan secara langsung.

“Saya suka membabitkan diri dalam persembahan secara langsung kerana saya sendiri suka menyaksikan acara langsung sejak kecil seperti sarkas.

“Malah, sekarang pun saya suka membawa anak-anak untuk menonton sarkas. Kenapa sarkas? Sebab kalau kita menonton sarkas kita akan dapat lihat sekumpulan manusia yang mempunyai skil pelbagai dan persembahan mereka sangat mengagumkan.

“Ia secara tidak langsung dapat mengajar anak-anak jika kita ada kemahiran dalam hidup, ia boleh dijadikan sumber kewangan bagi menampung hidup,” katanya.

Mengulas lanjut perkara itu, sekiranya anaknya memilih untuk bermain bola sepak atau muzik, dia lebih rela membenarkan anaknya untuk bermain muzik kerana kemahiran itu boleh dibawa hingga ke akhir hayat.

“Bukan itu sahaja, ilmu muzik yang dipelajari boleh diturunkan kepada orang lain dan apabila ia dipanjangkan dan digunakan orang yang belajar itu untuk menampung hidup sudah tentu kebaikannya juga akan diperoleh guru yang mengajar.

“Berbeza dengan bola sepak, berapa lama kemahiran itu boleh bertahan dan kalau berlaku kecederaan ia sudah tidak boleh digunakan untuk menampung hidup,” katanya.

Berbalik soal Siti Di Alam Fantasi yang dipentaskan buat kali keempat itu, Johan berkata, dia menerima tawaran itu bukan demi kepuasan sendiri tetapi untuk kepuasan keluarganya.

“Sepanjang saya terbabit dalam bidang seni, anak-anak peminat nombor satu saya. Apa sahaja saya buat, mereka akan tonton dan menghargainya.

“Sebagai contoh, Chantique pernah mengutarakan dialog saya dalam Maharaja Lawak Mega. Bayangkan saya sendiri tak ingat dialog itu, dia ingat.

“Persembahan itu sudah lama tetapi mereka tonton dan menghafalnya. Disebabkan itulah saya kata anak-anak peminat setia nombor satu saya,” katanya.

Disiarkan pada: November 6, 2019 @ 5:30am
d