utama

Sia-sia bayar RM2,000 gadai nyawa

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

SANGGUP bayar sehingga RM2,000 kepada tekong bot untuk memasuki Malaysia secara haram.

Namun ‘pelaburan’ itu tidak berbaloi apabila 10 pendatang asing tanpa izin (Pati) yang cuba memasuki Malaysia sebaliknya diberkas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Tanjung Ayam.

Dalam kejadian jam 10.20 malam kelmarin, semua Pati warga Indonesia berusia antara 14 hingga 43 tahun itu ditahan pada kedudukan kira-kira 3.6 batu nautika selatan Tanjung Ayam.

Pengarah APMM Zon Maritim Tanjung Sedili, Kapten Maritim Mohd Zulfadli Nayan berkata, mereka yang ditahan membabitkan lapan lelaki dan dua wanita.

Beliau berkata, antara yang ditahan itu individu yang bertindak sebagai tekong dan seorang pembantunya kerana disyaki menjalankan aktiviti penyeludupan migran.

“Hasil maklumat awam, bot dinaiki Pati itu ditahan selepas dipintas bot APMM. Bot warga asing itu mulanya enggan memberi kerjasama ketika diminta berhenti untuk pemeriksaan.

“Pemeriksaan mendapati semua yang berada dalam bot itu tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.

Beliau berkata, semua Pati disiasat mengikut Akta Imigresen 1959 / 63 serta Akta Antipemerdagangan Manusia dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 kerana cuba keluar atau masuk Malaysia melalui pintu yang tidak diwartakan dan menjalankan aktiviti penyeludupan migran.

Pada masa sama, Mohd Zulfadli mengingatkan orang ramai khususnya, warga Indonesia yang ingin datang ke Malaysia atau pulang ke kampung halaman supaya menggunakan laluan yang sah mengikut undang-undang tanpa perlu menggadai nyawa.

“APMM sentiasa serius untuk memastikan keselamatan bagi mengelakkan kehilangan nyawa dan harta benda di laut.

“Kawalan keselamatan juga akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa bagi membanteras aktiviti penyeludupan migran yang menggunakan laluan laut untuk masuk dan keluar, memandangkan cara ini amat merbahaya yang mana sindiket penyeludupan manusia dilihat tidak menghargai nyawa penumpang mereka demi keuntungan semata-mata,” katanya.

Disiarkan pada: November 6, 2019 @ 8:01am
d