utama

Tangguh bicara

Oleh Hairulazim Mahmud dan Suraya Roslan

PASANGAN rakyat Malaysia, Hairi Muhamad dan Norliha Khamis yang dituduh mendera anak mereka akan dibicarakan di mahkamah Norway tahun depan.

Wakil Kementerian Luar berkata, perbicaraan kes pasangan berusia 42 tahun itu ditangguhkan selepas Hairi memohon untuk diberi peluang menggantikan peguam dengan bantuan Wisma Putra.

“Sepatutnya mereka dibicarakan pada 4 hingga 6 November lalu, tetapi mahkamah menangguhkan ke 2020 atas permintaan Hairi yang mahu menggantikan peguam lebih berpengalaman dalam kes berkenaan.

“Buat masa ini, kita berunding supaya lima anak pasangan itu dikembalikan kepada ibu bapa mereka sementara kes berlangsung atau ditempatkan di bawah jagaan satu keluarga Muslim,” katanya kepada Harian Metro, semalam.

Menurutnya, Timbalan Ketua Setiausaha (Hubungan Dua Hala) Kementerian Luar, Datuk Amran Mohamed Zin turut berjumpa Duta Besar Norway ke Malaysia, Gunn Jorid Roset supaya kes itu diberi perhatian dan bantuan konsular.

“Malah, Menteri Luar Negeri (Datuk Saifuddin Abdullah) turut prihatin dengan isu ini dengan mengutuskan surat kepada rakan sejawat beliau di Norway. Bagaimanapun, pasangan terbabit didakwa berdasarkan undang-undang Norway dan Konvensyen Kanak-Kanak Negara berkenaan.

“Sebaik kita menerima maklumat kes ini, kami terus berhubung dengan Kedutaan Malaysia di Stockholm, Sweden dan berhubung dengan Norway Malaysia Association dan mereka memberikan senarai peguam yang berpengalaman dalam menghadapi kes seumpama ini,” katanya.

Menurutnya, pihaknya memahami kegusaran semua pihak mengenai kebajikan lima kanak-kanak yang diletakkan di bawah jagaan bukan Muslim, namun pihaknya menangani hal itu sedaya upaya.

“Kalau boleh, kita mahu mereka (kanak-kanak) ini dihantar pulang ke Malaysia seperti mana harapan Hairi dan isteri.

“Kami dimaklumkan, Hairi hanya diberi peluang melawat anak-anaknya sebulan sekali berbanding sebelum ini dua kali sebulan.

“Pelbagai usaha dilakukan oleh pihak kami bagi menjaga kebajikan lima kanak-kanak ini,” katanya.

Kementerian Luar turut menasihati rakyat Malaysia di negara luar supaya mengikuti dan menghormati undang-undang tempatan negara dilawati.

“Kena berhati-hati dengan undang-undang tempatan negara dikunjungi, mungkin banyak benda boleh dilakukan di Malaysia, tetapi apa yang menjadi kebiasaan di negara kita tidak sama dengan negara luar,” katanya.

Sejak Mei lalu, Hairi yang bertugas sebagai pakar kimpalan dan Norliha hilang hak penjagaan terhadap lima anak mereka berusia antara empat hingga 16 tahun selepas berdepan siasatan pihak berkuasa susulan aduan dibuat seorang anaknya.

Adik Hairi, Hasrol dilaporkan media berkata, pada awal Ramadan lalu, seorang anak mereka yang mungkin letih kerana berpuasa, ditegur gurunya dan dia memaklumkan tertekan kerana berpuasa pada waktu yang lama (melebihi 12 jam).

Menurut Hasrol, guru itu berkemungkinan berpendapat bahawa kanak-kanak terbabit didera dan membuat aduan kepada pihak berkuasa perlindungan kanak-kanak.

Disiarkan pada: November 8, 2019 @ 9:00am
d