utama

Semoga Mohd Hafizuddin cepat sembuh

Oleh Redzuan Muharam

PENUNTUT semester pertama Pengajian Islam di Universiti Mohammed V Rabat di Maghribi, Mohd Hafizuddin Hazrul ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Cheikh Zayd sejak Ahad lalu selepas disahkan menghidap leukemia.

Berita itu dikongsi rakannya, Azamudeen Aziz sejak dua hari lalu di Twitter dengan memaklumkan Mohd Hafizuddin yang berusia 20 tahun memerlukan sumbangan bagi menampung kos rawatan di hospital berkenaan.

Bapa Mohd Hafizuddin, Hazrul Abdullah, 50, berkata, dia dimaklumkan mengenai perkara berkenaan oleh anak sulungnya yang mendapat maklumat daripada rakan penuntut itu.

Menurutnya, berita itu amat mengejutkannya dan isteri, Noor Bahayah Dullah, 45, kerana Mohd Hafizuddin tidak pernah mengadu sakit serta dalam keadaan sihat sebelum berangkat ke Maghribi bagi melanjutkan pengajian di universiti berkenaan pada September lalu.

“Dia (Mohd Hafizuddin) adalah anak kedua daripada lima beradik dan memang aktif serta tidak pernah menunjukkan sebarang tanda sakit sebelum ini.

“Disebabkan itu, saya serta isteri dan ahli keluarga lain amat terkejut apabila diberitahu mengenai keadaannya kerana ia di luar jangkaan kami.

“Ini kerana kami kerap juga berhubung tetapi tidak pernah mengadu sakit cuma beritahu dia demam pada Ahad lalu sebelum disahkan menghidap leukemia yang menyebabkannya terpaksa ditempatkan di ICU hospital di Maghribi,” katanya yang tinggal di Rembau, Negeri Sembilan ketika dihubungi hari ini.

Menurut Hazrul, dia dijangka akan berangkat ke Maghribi esok bagi melihat keadaan Mohd Hafizuddin dan kemungkinan pergi bersama isteri dan anak bongsunya dengan bantuan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).

Walaupun sedih mengenangkan nasib anaknya itu, Hazrul cuba tabah dan berharap orang ramai dapat mendoakan perjalanannya selamat dan anaknya kembali pulih seperti biasa.

“Setakat ini, kami sekeluarga belum dimaklumkan secara terperinci mengenai rawatan dan kemungkinan sama ada Mohd Hafizuddin perlu menjalani pembedahan atau sebaliknya.

“Disebabkan itu, kami perlu ke sana (Maghribi) kerana pihak hospital perlu mendapatkan persetujuan keluarga terlebih dulu sebelum mengambil langkah berikutnya.

“Apa pun, saya mohon doa daripada orang ramai dengan harapan segalanya dipermudahkan kerana mahu Mohd Hafizuddin sihat dan meneruskan semula pengajiannya,” katanya.

Orang ramai yang berhasrat membantu Mohd Hafizuddin boleh menghubungi Hazrul di talian 012-6222583 atau ibunya, Noor Bahayah di 016-3086035.

Disiarkan pada: November 8, 2019 @ 10:17pm
d