utama

Berpada-pada lakon babak mesra

Oleh Norhayati Nordin

DRAMA atau filem adaptasi novel bukanlah asing dalam kalangan penonton di negara ini.

Pelbagai novel terutama berkisar kisah cinta sudah diterjemahkan penerbit dan pengarah ke layar skrin untuk tontonan masyarakat.

Namun, lebih menjadi perhatian apabila ada sebahagian novel diadaptasi itu menimbulkan isu terutama aksi dalam babak dilakonkan pelakon utama yang terlalu mesra dan kelihatan melampau.

Malah, lebih hebat lagi jika tersebar video atau foto terlalu mesra pasangan hero dan heroin di media sosial sehingga mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.

Apakah aksi terlalu mesra perlu dilakonkan umpama realiti supaya jalan cerita tidak jauh tersasar atau untuk memberi keseronokan penonton? Ikuti pendapat tiga insan seni ini.

Osman Ali (Pengarah filem/drama)

“Sebagai pengarah, saya masih peka dengan sensitiviti penonton dan masyarakat di negara ini dalam merakamkan babak sesuai.

Saya selalunya akan pastikan babak mesra sesama pelakon utama tidak terlalu mengikut kehendak imaginasi novel.

Imaginasi penulis novel dan babak mesra untuk direalisasikan pelakon, dua perkara berbeza dan saya perlu teliti dengan sebaik mungkin.

Bagaimanapun, saya tetap tak mampu nak halang kata-kata orang sekiranya sesuatu babak didakwa terlalu mesra dikecam kerana dianggap melampau”.

Siti Nordiana (Penyanyi/pelakon)

“Dalam soal ini, setiap pelakon semestinya ada pendirian masing-masing. Kalau saya, memang tak selesa melakonkan babak terlalu mesra seperti didukung, dipeluk mengikut apa diimaginasikan dalam novel.

Bagaimanapun, terpulang kepada pelakon untuk membuat keputusan dan bagi saya perbincangan dua hala dengan pengarah sangat penting.

Saya memang menolak aksi terlalu mesra dilakonkan kerana bukan nak tunjuk diri baik tetapi memang kurang selesa”.

Zoey Rahman (Pengacara/pelakon)

“Pengarah adalah individu yang memainkan peranan utama dan penting dalam mengolah jalan cerita drama dihasilkan terutama karya diadaptasi daripada novel.

Sebagai pelakon, garis panduan pengarahan untuk melakonkan babak terlalu mesra itu memang mengambil kira apa yang diinginkan pengarah.

Saya berhati-hati untuk melakonkan babak terlalu mesra kerana sedar sensitiviti penonton masa kini yang kebanyakannya pasti tidak selesa nak menonton.

Bagaimanapun, selaku orang dewasa, terpulang juga kepada pelakon untuk membuat keputusan dan pilihan. Setiap pelakon pastinya ada cara sendiri mahu buat atau tidak babak terlalu mesra itu. Kena tanya diri sendiri.”

Disiarkan pada: November 9, 2019 @ 5:20am
d