utama

Beli dadah 'hadiah' pistol

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Muhaamad Hafis Nawawi

DIBERIKAN ‘sagu hati’ senjata api pistol dan sejumlah peluru hidup sebagai ‘buah tangan’ bagi pembelian dadah syabu atau ganja dari negara jiran.

Hadiah cenderamata pembunuh itu adalah antara punca peningkatan rampasan serta penemuan senjata api terutama pistol dan peluru milik sindiket serta pengedar dadah tempatan sejak awal tahun ini.

Sumber polis berkata, sifat pemurah sindiket dadah ini menyebabkan berlaku peningkatan rampasan senjata membabitkan pistol dan pelbagai peluru diperoleh dari pasaran gelap di negara jiran Thailand.

Terbaru 8 November lalu, sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang merampas dua bom tangan dan lebih 600 butir peluru disorokkan sindiket dadah di stor pili bomba di Pangsapuri Sinar Bukit Dumbar, Georgetown.

Rampasan besar itu dilakukan hanya beberapa bulan selepas Polis Pulau Pinang merampas 349 butir peluru, beberapa pucuk pistol dan bom tangan yang masih aktif di sebuah rumah dua tingkat di Taman Bukit, Bukit Mertajam Februari lalu.

“Dalam kes terbaru Ahad lalu, dua lelaki berusia 19 dan 23 tahun turut diberkas di Rantau Panjang, Kelantan, hasil Penugasan Op Wawasan Sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan.

“Susulan siasatan dilakukan, polis berjaya merampas sepucuk pistol model Glock, pistol model Wingun dan enam butir peluru bersama kelopak pistol milik suspek yang didapati positif dadah.

“Dalam satu lagi kes berasingan, polis berjaya memberkas dua lelaki di Marang, Terengganu pada Ahad lalu dan merampas tiga pistol revolver berserta sarung, dua pistol Glock 19, rifel M16, gari dan pelbagai barangan lain.

“Susulan penahanan itu, polis menyerbu sebuah kediaman di Jalan Permata, Marang,Terengganu sebelum merampas tiga laras rifel M16, empat pistol Glock 19 berserta tujuh kelopak, baju kalis peluru,’ katanya.

Beliau berkata, kaitan dadah dan pemilikan senjata api semakin serius kebelakangan ini apabila kebanyakan pengedar dadah didapati memiliki senjata haram.

Menurutnya, polis sebelum turut berjaya memberkas dua lelaki berusia 42 dan 48 tahun di Gua Musang, Kelantan sebelum menemui sepucuk pistol dan 100 butir peluru milik suspek, 22 Ogos lalu.

“Mereka turut didapati memiliki bungkusan serbuk dan ketulan dadah syabu, pil ekstasi dan pil kuda.

“Kejayaan sama turut dicapai 24 Mac lalu apabila polis Johor menahan 12 lelaki dan merampas hampir 50 kilogram dadah syabu selain merampas pistol jenama Glock, 25 peluru dan dua kelopak peluru,” katanya.

Dia berkata, berdasarkan maklumat diperolehi, sindiket kebiasaannya akan meleraikan terlebih dahulu senjata api berkenaan kepada komponen kecil bagi menyukarkan ia dikesan ketika melepasi pintu sempadan.

“Ada antara maklumat, senjata itu dibawa sendiri oleh ahli sindiket dadah. Ada juga yang diserahkan kepada pemandu lori atau bas upahan untuk melepas pintu sempadan bersama dadah,” katanya.

Disiarkan pada: November 9, 2019 @ 8:01am
d