utama

Ditembak dalam perjalanan sambut Maulidur Rasul

Oleh Mohd Izham Unnip Abdullah

ENAM sekeluarga termasuk kanak-kanak lapan tahun dari Pulau Denawan, Semporna meninggal dunia dipercayai ditembak ketika dalam perjalanan untuk menghadiri sambutan Maulidur Rasul bersama saudara mereka di selatan Filipina.

Kejadian berlaku 5 November lalu itu, dimaklumkan dua mangsa yang terselamat ketika soal siasat polis sebaik menerima laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna pada Jumaat lalu.

Mereka membuat laporan itu selepas jenazah keenamnya selamat dikebumikan di Pulau Denawan.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata, kes itu setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut kerana kejadian dilaporkan berlaku di luar perairan Malaysia.

Malah katanya, semua mangsa juga tiada dokumen pengenalan diri.

“Mangsa terselamat memberitahu ketika kejadian, mereka sekeluarga seramai lapan orang menaiki sebuah perahu dari Pulau Denawan, Semporna untuk ke Siasi di selatan Filipina bagi menyambut Maulidur Rasul.

“Dalam perjalanan itu iaitu waktu malam, mereka berusia lapan hingga 50-an itu dikatakan dihampiri sebuah bot yang kemudian melepaskan tembakan ke arah mereka.

“Tembakan menyebabkan enam mati termasuk seorang kanak-kanak, manakala seorang lelaki dan wanita selamat,” katanya, hari ini.

Omar menjelaskan, motif tembakan dipercayai balas dendam kerana tiada barangan termasuk wang mangsa yang dirampas.

“Keesokan harinya (6 November), saudara mangsa di Siasi mencari mangsa di perairan itu kerana hairan mangsa belum tiba, dan dia menemui bot mangsa dengan hanya dua orang yang masih hidup.

“Mayat kemudian dibawa semula ke Pulau Denawan dan dikebumikan pada 7 November,” katanya.

Beliau berkata, polis mengambil keterangan dua individu yang terselamat dan difahamkan semua mangsa terbabit tidak mempunyai dokumen pengenalan diri tetapi sudah lama menetap di pulau berkenaan.

Disiarkan pada: November 10, 2019 @ 3:49pm
d