utama

Maut tergelincir ke dalam perigi

Oleh Ibrahim Isa

LELAKI warga emas bertarung nyawa masuk ke dalam perigi sedalam kira-kira tiga meter di dalam rumahnya untuk menyelamatkan isteri yang tergelincir ke dalam perigi itu di Sengkang Batu 20, Bukit Gambir, Muar, 7.40 pagi, hari ini.

Bagaimanapun, usahanya selama kira-kira 20 minit untuk menyelamatkan isterinya dikenali sebagai Saridah Bunawan, gagal apabila pemeriksaan mendapati wanita berusia 59 tahun itu sudah meninggal dunia.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Gambir, Jahairi Shukor berkata, mereka menerima panggilan kecemasan pada 7.47 pagi sebelum sepasukan anggota membabitkan sebuah jentera dikejarkan ke lokasi.

“Apabila tiba, kami dapati mangsa berjaya dikeluarkan dari perigi oleh suami dan anak lelakinya, namun pemeriksaan pasukan perubatan yang tiba di tempat kejadian mendapati mangsa sudah meninggal dunia.

“Kami difahamkan, mangsa dalam perjalanan ke tandas sebelum tergelincir ke dalam perigi yang ditutupi jeriji.

“Suami dan anak lelaki mangsa menggunakan tangga aluminium untuk turun ke dalam perigi bagi menaikkan mangsa,” katanya.

Menurutnya, perigi itu tidak digunakan sejak kira-kira tiga tahun lalu kerana kerosakan pam air dan ditutup menggunakan jeriji besi.

Katanya, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan pada 8.27 pagi.

Disiarkan pada: November 10, 2019 @ 6:36pm
d