utama

Tuah lahir Albino

Oleh Hidayatul Akmal Ahmad dan Nurul Hidayah Bahaudin

KUALA LUMPUR: “Usah ambil peduli kata-kata individu yang tiada kepentingan dalam hidup kita,” kata Azfar Firdaus.

Azfar Firdaus antara mangsa body shaming yang sering menjadi sasaran warganet di media sosial.

Menurut model sambilan berusia 25 tahun itu, dia sering menjadi mangsa body shaming kerana keadaan dirinya yang dilahirkan sebagai albino.

“Masyarakat menganggap albino sebagai sesuatu yang pelik. Sebenarnya albino ini yang memberi kelebihan dan membezakan saya dengan orang lain.

“Sejak di bangku sekolah, rakan pelik dengan keadaan diri saya. Kadang-kadang ada juga rasa down tapi bila difikir semula, mereka mungkin pelik kerana tidak pernah jumpa insan istimewa seperti ini.

“Keluarga saya selalu berpesan, abaikan kata-kata individu yang tiada kepentingan dalam hidup dan fokus terhadap pelajaran kerana itu yang akan menentukan siapa kita,” katanya ketika dihubungi, di sini.

Menurut Azfar, dia kini tidak lagi mempedulikan kata-kata warganet sebaliknya mahu fokus terhadap pengajian Ijazah Doktor Falsafah (PhD) di universiti terkemuka di Johor Bahru.

“Saya juga kini bergelar model freelancer (sambilan) dan aktivis badan bukan kerajaan (NGO) bagi memperjuangkan nasib orang kurang upaya (OKU).

“Kepada individu yang senasib atau rasa rendah diri dengan keadaan masing-masing, anggap ia sebagai kelebihan yang bukan semua orang bertuah memilikinya,” katanya.

Disiarkan pada: November 11, 2019 @ 10:30am
d