utama

Badan khas untuk jaga keperluan artis [METROTV]

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

KERAJAAN akan mengkaji semula peruntukan undang-undang bagi melindungi kepentingan penggiat seni yang diakui memiliki kelompongan.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, sebuah badan khas akan diwujudkan bagi menjaga hak dan keperluan artis.

Katanya, undang-undang sedia ada tidak mencukupi dan kajian berkaitan perkara itu akan dilakukan dengan mengambil kira pendapat mereka.

“Saya dapati setakat ini kita tiada badan khas yang menjaga kepentingan penyanyi, pemuzik dan pelakon. Oleh itu ia akan dibentuk dengan ditentukan sendiri oleh penggiat seni,” katanya pada Majlis Dialog Penggiat Seni Muzik Bersama Perdana Menteri di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya, hari ini.

Dr Mahathir berkata, beliau tidak menyangka industri seni tanah air turut memiliki ‘penyangak’ sebagaimana perkembangan politik.

“Individu berkenaan menyalahguna undang-undang sedia ada untuk kepentingan mereka. Disebabkan itu kerajaan akan mengkaji semula akta terbabit,” katanya.

Menurutnya, penggiat seni harus menikmati kekayaan negara selari hasrat kerajaan untuk mencapai wawasan kemakmuran bersama.

Beliau dalam pada itu menasihatkan artis tidak bergantung harap pada satu sumber pendapatan semata-mata.

“Artis ini ada yang mendapat sambutan dan ada tidak, bergantung pada nasib. Maka, penggiat seni perlu pelbagaikan sumber pendapatan seperti kerajaan menggalakkan pelbagai jenis penanaman.

“Jangan bergantung hanya pada nyanyian sebaliknya cekap memasak, menganyam dan menghasilkan pakaian,” katanya.

Menurutnya, jika pengggiat seni bergantung harap pada sesuatu bidang sahaja, nescaya hasil pendapatan tidak mencukupi dengan mereka berdepan tekanan hidup.

Dr Mahathir dalam pada itu meluahkan kegusaran degan perkembangan anak seni pada masa ini yang dibelenggu kemiskinan.

“Kerajaan sedar perkara ini dan satu contoh daripadanya adalah P Ramlee. Saya anggap dia seorang yang genius, buat segalanya, tulis cerita, lirik, lagu, mainkan alatan muzik dan sunting gambar.

“Akhirnya, P Ramlee meninggal dunia dalam kemiskinan tetapi lagunya dinyanyikan semua orang. Dia sendiri tidak mendapat satu sen (royalti) dan mungkin keluarganya dapat, saya tidak tahu,” katanya.

Katanya, penggiat seni juga perlu mempelbagaikan bakat dan menampilkan kelainan dalam hasil karya mereka jika mahu terus mendapat sambutan.

Disiarkan pada: November 11, 2019 @ 7:17pm
d