utama

Masih takut memandu

Oleh Norhayati Nordin

KEJADIAN kemalangan kereta dilalui Dayana Roza, 28, pada 15 Oktober lalu hingga kini masih tidak dapat dilupakannya.

Dayana yang memandu sendirian ketika itu dalam perjalanan balik ke rumahnya berhampiran lokasi kejadian di Subang, Selangor.

Dayana berkata, impak kemalangan yang berlaku kira-kira sebulan lalu itu menyebabkan dia kini takut untuk memandu.

Pemilik nama sebenar Nur Dayana Kamsun Baharin ini berkata, kemalangan terbabit adalah yang pertama kali dilaluinya.

“Tak dinafikan, kejadian itu meninggalkan kesan sangat mendalam kepada diri saya sehingga menyebabkan trauma. Sampai sekarang, saya takut nak memandu kereta kerana masih ingat apa yang berlaku. Saya cuba melupakan kejadian itu, namun amat sukar melenyapkannya di fikiran,” katanya.

Dalam kejadian itu, kereta dipandu Dayana terbabas sebelum melanggar penghadang jalan apabila kereta di depannya berhenti mengejut di kawasan selekoh.

Dayana tidak mengalami kecederaan serius dan hanya bengkak, luka kecil di kepala, lutut dan jari. Pemakaian tali pinggang keledar dikatakan menyelamatkan Dayana daripada mengalami kecederaan lebih teruk.

Bagaimanapun, bahagian depan keretanya remuk teruk.

Dayana yang juga pelakon utama filem Minah Moto dan Zombie Kilang Biskut berkata, dia kini perlukan masa untuk pulihkan semula semangatnya.

“Nampaknya, saya perlukan masa untuk kuatkan semangat diri. Kejadian itu adalah pengalaman ngeri hidup saya,” katanya.

Dayana yang sering dipalit kontroversi dan selalu menjadi mangsa kecaman netizen turut mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang mendoakannya.

“Saya berterima kasih kepada sesiapa saja yang mengambil berat mengenai keadaan diri semasa kemalangan itu. Alhamdulillah, saya sudah pulih dari kecederaan ringan dialami dan kini sudah kembali ke set penggambaran drama.

“Sekarang, saya sibuk dengan penggambaran drama Seadanya Aku arahan Feroz Kader untuk slot Akasia TV3 untuk tahun depan,” katanya.

Drama adaptasi novel terbitan Country Universal Sdn Bhd itu turut menggandingkan semula Zara Zya dan Azlee Khairi sebagai teraju utama.

Selain pasangan yang popular dengan drama Love You Mr Arrogant itu, ia turut dibintangi Datin Elvina Mohamad, Redza Rosli, Fadlan Hazim, Sharifah Husna, Azri Iskandar dan Ainina Ahmad B.

‘Watak pembantu pun okey’

Genap sedekad menceburi bidang lakonan sejak 2009, Dayana juga dilihat tidak kemaruk mengejar watak utama.

Menurut heroin drama Asam Pedas Untuk Dia ini, watak pelakon pembantu pun masih sedia diterimanya hingga kini.

“Asalkan ada tawaran berlakon, saya sebenarnya tidak terlalu memilih watak. Saya okey saja dengan apa saja watak termasuk pelakon pembantu.

“Bagi saya, watak pelakon pembantu pun ada tarikan dan kekuatan tersendiri. Bahkan, setakat ini kebanyakan watak pelakon pembantu yang saya dapat agak menarik,” katanya.

Menceritakan watak Zureen lakonannya dalam drama Seadanya Aku, Dayana berkata, dia melakonkan watak ‘gila-gila’.

“Zureen ini digambarkan wanita yang baik, tetapi bersikap ‘gila-gila’. Boleh dikata, sikap ‘gila-gilanya’ tak boleh bawa bincang. Sangat sukakan gaya fesyen berwarna-warni, Zureen juga memiliki sifat keyakinan diri yang tinggi,” katanya.

Bagaimanapun, kekurangan Zureen adalah sering gagal dalam percintaan.

Dayana berkata, ia watak yang bebas untuk dilakonkannya.

Walaupun mengambil pendekatan tidak mahu berkongsi kisah peribadi, Dayana bersyukur kerana tawaran lakonan diterimanya masih tidak putus.

Disiarkan pada: November 12, 2019 @ 5:20am
d