utama

'Durian runtuh' 42 imam, bilal

Oleh Baharom Bakar

SALAH faham mengenai khatib undangan antara punca bayaran elaun imam dan bilal masjid di negeri ini tertunggak sehingga ratusan ribu ringgit seorang sejak 15 tahun lalu.

Bagaimanapun, imam dan bilal daripada 17 masjid di negeri ini menerima ‘durian runtuh’ selepas kerajaan negeri bersetuju membayar balik tunggakan kepada 42 mereka yang terbabit tunggakan sejak 2004 itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Ihsan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah menjelaskan kerajaan negeri menyediakan peruntukan RM2.9 juta untuk membayar elaun tunggakan imam dan bilal sejak 2004.

Beliau mengakui penahanan bayaran elaun imam dan bilal sehingga tertunggak disebabkan berlaku pelbagai salah faham di banyak peringkat adalah salah di sisi undang-undang.

“Saya mewakili kepemimpinan kerajaan negeri dan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) memohon maaf kepada seluruh imam dan bilal yang terbabit dengan penahanan elaun sejak 15 tahun lalu,” katanya selepas merasmikan majlis penyerahan wang tunggakan imam dan bilal masjid mukim negeri, semalam.

Turut hadir Pesuruhjaya JHEAT, Md Azmi Arshad dan Ketua Penolong Pesuruhjaya, Bahagian Pengurusan Masjid, Aizi Saidi Abd Aziz.

Mohd Nor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Payong berkata, walaupun ada antara imam dan bilal tidak mendapat elaun sehingga berlaku tunggakan, kerajaan negeri kagum kerana mereka masih meneruskan perkhidmatan.

“Jumlah tunggakan elaun imam serta bilal bergantung kepada tempoh perkhidmatan dan ada antara mereka sudah meninggal dunia.

“Hari ini ada imam yang menerima jumlah tunggakan elaun sehingga RM104,250 dan RM75,000 manakala bilal pula menerima tunggakan elaun setinggi RM85,000 sehingga serendah RM1,200,” katanya.

Sementara itu, Imam di Masjid Kolam, Kuala Ibai, Ibrahim Muda Khatib Mamat, 76, berkata, dia menggunakan wang persaraan selain insentif daripada jawatankuasa masjid untuk perbelanjaan harian selepas elaunnya digantung 14 tahun sejak 2004.

Dia yang juga pesara guru agama memperoleh tunggakan elaun imam berjumlah RM104,250 dan mahu menggunakan wang itu untuk pendidikan anak dan cucunya.

“Selain menampung perbelanjaan ahli keluarga menggunakan wang pencen dan sagu hati daripada masjid, saya juga mendapat elaun hasil selepas dilantik sebagai penolong pendaftar nikah dan cerai.

“Saya mewakili seluruh imam dan bilal yang terbabit mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri dan JHEAT kerana bersetuju membayar balik elaun tertunggak sejak 2004,” katanya.

Disiarkan pada: November 12, 2019 @ 6:40am
d