utama

'Tolong doakan suami saya...'

Oleh Redzuan Muharam

HASRAT bapa seorang cahaya mata, Muhammad Azrul Nizam Sa’adan untuk bermain bola sepak sehingga ke wisel penamat tidak kesampaian apabila cedera selepas bertembung dengan pemain lain dan dimasukkan ke wad Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru, Johor , petang Ahad lalu.

Hasil pemeriksaan mendapati pemain pertahanan pasukan Pontian FA itu mengalami pneumothorax atau paru-paru bocor kesan daripada kecederaan akibat bertembung dengan dua pemain lain dalam kejohanan di Dataran Bandaraya Johor Bahru, Johor.

Lebih menyedihkan, Muhammad Azrul berkemungkinan menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-28 di wad hospital pada Jumaat ini, seandainya masih ditahan di wad.

Kisah Muhammad Azrul mendapat perhatian warganet selepas dikongsi isterinya, Nurul Ain Omar, 23, menerusi ciapan dan gambar dimuat naik di Twitter semalam.

Selain mendoakan Muhammad Azrul kembali sembuh, warganet turut mengharapkan Nurul Ain tabah mengharungi ujian itu.

Nurul Ain ketika dihubungi Harian Metro berkata, dia dimaklumkan mengenai kecederaan dialami suaminya selepas dihubungi bapa mentuanya, Sa’adan Januri, 57, ketika dalam perjalanan ke lokasi kejohanan.

“Saya diberitahu kecederaan berlaku pada babak kedua permainan selepas suami bertembung dengan dua pemain lain ketika mempertahankan gawang.

“Suami saya tidak pengsan, tetapi sukar bangun dan keadaan itu menyebabkannya dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

“Ini kecederaan paling serius dialaminya sejak aktif bermain bola sepak dan walaupun dalam kesakitan, suami tetap meluahkan rasa sedihnya kerana gagal meneruskan perlawanan,” katanya.

Nurul Ain berkata, buat masa ini, suaminya dalam keadaan sedar, boleh makan dan minum seperti biasa cuma pergerakannya sedikit terbatas kerana keadaannya belum stabil.

Justeru, katanya, doktor menasihatkan Muhammad Azrul untuk berehat sehingga benar-benar sembuh dan pulih daripada kecederaan.

“Tujuan saya berkongsi kisah berkenaan adalah untuk meminta orang ramai mendoakan suami dan menjadikannya sebagai peringatan terutama bagi mereka yang aktif bermain bola sepak.

“Ini kerana tidak ramai tahu kesan jangka panjang kerana kecederaan dialami mungkin nampak ringan, tetapi sebenarnya serius contohnya dalam kes suami saya ini.

“Suami saya benar-benar sedih dan menangis kerana memikirkan bagaimana jika tidak dapat bermain lagi walaupun itu bukan mata pencariannya.

“Sebagai isteri, saya turut bersedih kerana tahu minatnya yang mendalam terhadap bola sepak,” katanya.

Disiarkan pada: November 12, 2019 @ 9:00pm
d