utama

Sakat adik main PUBG dengan hafazan Quran

Oleh Amirul Haswendy

“SAYA cuma mahu berkongsi kepada anak muda zaman sekarang mengenai membudayakan al-Quran,” luahan Fathiyakan Husni, 25.

Ia susulan videonya sedang ‘menyakat’ adiknya bermain permainan PlayerUnknown's Battlegrounds (PUBG) untuk menyambung beberapa potongan ayat al-Quran yang diberikan.

Dalam video dikongsi di akaun Twitter @Fathyakan, adiknya, Uwais Az-Zuhaili, 16, dilihat lancar menyambung potongan ayat al-Quran diberikan Fathiyakan, walau pun ketika itu Uwais leka bermain permainan dalam talian popular itu di telefon pintar.

Video itu mendapat reaksi positif warganet selain lebih 40,000 ulang kicau dan 52,800 tanda suka sejak dimuat naik Isnin lalu.

“Sudah menjadi kebiasaan kami adik beradik dalam kereta untuk saling ‘menebuk’ dan menguji hafazan masing-masing.

“Saya pula sejenis abang yang suka menyakat dan rapat dengan adik beradik tapi masa sama mereka takut sebab saya juga ada sisi garang tersendiri,” katanya.

Menurut anak sulung dari enam beradik ini, semua adiknya adalah hafiz al-Quran dan bongsu yang baru berusia 10 tahun sudah menghafaz lima juzuk.

Dia yang sedang mengikuti pengajian di Fakulti Syariah di Universiti Al-Azhar, Mesir, memberitahu mereka sudah diterapkan dengan didikan al-Quran sejak berusia lima tahun dan mula menghafal pada usia tujuh tahun.

“Dalam adik beradik kami, Uwais paling laju hafaz al-Quran yakni pada usia 14 tahun.

“Dia pernah bersekolah di Sekolah Tinggi Islam, As-Sofa, kemudian menyambung ke Tahfiz Mustafawiyah, Bangi dan terkini di Maahad Al-Mustofa, Batangkali.

“Di rumah, ibu sangat tegas dan melarang kami menonton televisyen berlebihan. Kalau nak menonton atau bermain, mesti dengan syarat hafal satu muka al-Quran terlebih dulu setiap hari,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Dia turut mendedahkan mereka adik beradik dihantar ke sekolah tahfiz berasrama sejak berusia 12 tahun.

Malah, ibu ayah juga sering datang ke pusat tahfiz setiap hujung minggu untuk mengawasi mereka, siapa kawan, perkembangan belajar malah apa yang diajarkan guru.

Ayah mereka adalah seorang pensyarah di sebuah pusat pengajian tinggi dan juga penceramah agama bebas sekitar Lembah Klang dan Selangor manakala ibunya pula seorang suri rumah.

“Saya berharap mereka yang melihat dan berkongsi video itu akan mendapat inspirasi untuk mendidik anak-anak menjadi generasi al-Quran selain membudayakan kitab suci itu di mana pun, Insya Allah,” katanya.

Disiarkan pada: November 13, 2019 @ 9:30pm
d