utama

Jodoh payah cikgu, jurutera

Oleh Siraj Mohd Zaini

JIKA dahulu golongan berkerjaya termasuk dalam bidang profesional tidak mempunyai masalah mendapatkan calon suami atau isteri namun kini semuanya berubah.

Faktor waktu kerja tidak menentu dan beban tugas bertambah menjadikan mereka yang berada di dalam profesion seperti kejuruteraan dan pendidikan antara yang tertinggi memilih untuk mencari pasangan hidup secara dalam talian.

Ia dibuktikan menerusi statistik platform digital cari jodoh Muslim, Baituljannah.com yang kini mempunyai lebih 400,000 individu berdaftar sejak dilancarkan tahun lalu.

Pengarah Urusan Baituljannah.com, Dr Wan Hasifi Amin Wan Zaidon berkata, kedua-dua profesion berkenaan mencatatkan hampir 20 peratus daripada jumlah keseluruhan individu bekerja yang memilih untuk mencari jodoh secara dalam talian.

Menurutnya, data mengenai profesion terbabit diperoleh menerusi pendaftaran individu yang wajib mengisi bidang kerjaya masing-masing sebelum memulakan pencarian pasangan.

“Lelaki berkerjaya dalam bidang kejuruteraan mencatatkan peratusan tertinggi diikuti perkilangan, badan beruniform dan penjawat awam.

“Sementara bagi wanita pula, bidang pendidikan yang tertinggi berbanding mereka yang berkerja di dalam bidang pentadbiran dan perkhidmatan kesihatan,” katanya kepada Harian Metro.

Dr Wan Hasifi berkata, 92.8 peratus daripada jumlah berkenaan berusia 25 tahun ke atas yang membuktikan mereka serius dalam mencari pasangan hidup.

Beliau berkata, pelbagai faktor lain turut menyumbang kepada lebih ramai individu memilih mencari pasangan menerusi aplikasi dalam talian.

“Bukan hanya kerjaya yang diambil kira individu untuk dijadikan suami dan isteri malah mereka mempunyai banyak pilihan sendiri untuk mencari yang terbaik menerusi platform ini.

“Ada antara mereka lebih mudah menapis pasangan kerana masing-masing ada cita rasa sendiri seperti tidak merokok,” katanya.

Wan Hasifi berkata, laman pencarian jodoh itu ditubuh berlandaskan syariah Islam selain data individu diyakini selamat serta dirahsiakan.

“Hanya individu berusia 18 tahun ke atas boleh mendaftar dan semua perbualan di dalam laman ini dipantau pengurusan 24 jam.

“Selain itu, mereka hanya boleh bertukar-tukar nombor telefon selepas mencapai tahap ditetapkan atas persetujuan satu sama lain,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sehingga kini kira-kira 1,000 pasangan yang menggunakan platform itu berjaya mendirikan rumah tangga.

“Berdasarkan rekod juga, kita menjangkakan 9,000 lagi pasangan bakal melangsungkan perkahwinan, namun ia bergantung kepada perancangan mereka,” katanya.

Disiarkan pada: November 15, 2019 @ 10:00am
d