utama

Budak autisme dikhuatiri lemas

Oleh Hidayatul Akmal Ahmad

KANAK-KANAK lelaki penghidap autisme dikhuatiri lemas selepas tergelincir di Sungai Merab, Kajang, hari ini.

Mangsa, Noor Adam Faiq Noor Azam, 11, disedari hilang oleh keluarganya pada 12 tengah hari selepas tidak lagi bermain bersama dua adiknya.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cyberjaya, Pegawai Bomba Kanan 11 Juliana Hashim berkata, pihaknya menerima panggilan pada 2.43 petang sebelum tujuh anggota bersama satu jentera ke lokasi kejadian.

“Difahamkan ketika kejadian, mangsa bersama dua adiknya sedang bermain sebelum keluarga menyedari kehilangannya.

“Keluarga mangsa kemudian mencari mangsa di sekitar taman perumahan mereka namun gagal.

“Selepas solat Jumaat, bapa mangsa terus mencari di Sungai Merab dan menemui kasut serta seluar milik anaknya,” katanya ketika dihubungi.

Juliana berkata, mangsa dipercayai tergelincir di permukaan air tenang, namun berlumpur dan dibawa arus.

Beliau berkata, mangsa berkemungkinan masih berada di kawasan sama.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dihentikan pada 7 malam tadi akibat faktor cuaca dan akan disambung semula 8 pagi esok,” katanya.

Disiarkan pada: November 15, 2019 @ 10:35pm
d