utama

Irfan selit elemen kejutan

Oleh Sudirman Mohd Tahir

BERCINTA memang indah, ibarat dunia ini kita yang punya. Namun, hanya yang melaluinya lebih tahu makna sebenar cinta.

Ada yang bercinta tidak kekal lama, ada pula yang ditinggal kerana orang ketiga. Tidak kurang juga yang setia tapi kekasih masih rambang mata.

Lebih merana apabila usaha untuk memiliki cinta daripada wanita idaman tidak terlaksana hingga semua usaha menjadi sia-sia.

Itu situasi dilalui penyanyi Irfan Haris, 18, yang membuatkan dirinya kecewa akibat cinta ditolak gadis idamannya.

Namun, Irfan atau nama sebenarnya Irfan Haris Othman berkata, semua itu hanyalah jalan cerita dalam video muzik Honey khas buat peminat setianya.

“Lagu ini sudah hampir dua tahun disiapkan tetapi baru sekarang dikeluarkan. Kebetulan, saya terbabit dalam program Big Stage 2019 dan berjaya ke peringkat akhir. Jadi, inilah waktu yang sesuai.

“Kemudian, saya memikirkan konsep video muzik bagi disesuaikan dengan lirik lagu. Alhamdulillah, dengan bantuan dan tunjuk ajar daripada pengarah Syahmi Norsan terhasillah video muzik Honey ini.

“Sejujurnya, saya berpuas hati sebab apa yang diinginkan dalam muzik video ini dapat ditunaikan,” katanya.

Ifran berkata, apa yang pasti video muzik itu mempunyai keunikan tersendiri apatah lagi diselitkan elemen kejutan pada penghujung video muzik itu.

“Video muzik ini bukan saja cukup bermakna buat saya tetapi ia sesuatu yang istimewa buat peminat. Saya mahu video muzik ini bukan seperti video muzik lain.

“Disebabkan itu, saya cuba mencipta kelainan dengan menyelitkan elemen kejutan. Apa kejutan itu kenalah tonton sampai habis dan baru tahu jawapannya.

“Harapan saya, semoga video muzik ini diterima baik dan mendapat sambutan. Saya juga sedia terima apa saja komen dan pandangan,” katanya.

Lagu Honey adalah hasil ciptaan sepenuhnya Irfan bersama abangnya, Haiqal Iskandar.

Video muzik lagu Honey menjalani penggambaran selama dua hari pada 19 dan 30 Oktober lalu.

Ia dilancarkan secara rasmi semalam di saluran YouTube Seventeen Eleven Music.

Teristimewa buat peminat Irfan Haris, lagu Honey edaran Seventeen Eleven Music ini boleh dimuat turun dan distrim di semua digital platform seperti Apple Music, iTunes, Spotify, JOOX, KKBox serta DeezerMusic.

Disiarkan pada: November 16, 2019 @ 5:20am
d