utama

Pengorbanan berbaloi

Oleh Firdaus Hashim dan Syazwan Msar

“SELAIN berjuang untuk Malaysia, saya juga lakukannya untuk anak saya yang dilahirkan minggu lalu.” Itu pengorbanan tonggak tengah Harimau Malaya, Brendan Gan yang terpaksa berjauhan dengan anak sulungnya selepas dua hari dilahirkan di Australia demi membantu perjuangan pasukan menempuh dua aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Thailand dan Indonesia.

Ternyata pengorbanannya itu berbaloi, apabila dia berjaya menyumbat satu gol bagi membantu skuad negara membenam Gajah Perang 2-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil, kelmarin.

Brendan mempamer aksi luar biasa di sepanjang perlawanan dan untuk itu, dia dinobatkan sebagai pemain terbaik ketika menentang Thailand.

Malah, gol kemenangan yang di ledak Mohamadou Sumareh pada babak kedua juga diilhamkan Brendan.

“Saya tak ada masalah siapa menjaringkan gol kerana apa yang penting kami menang dan raih tiga mata apatah lagi kami beraksi di gelanggang sendiri. Bagaimanapun, sudah tentu ia sesuatu yang luar biasa apabila dapat menjaringkan satu gol dan membantu menghasilkan satu lagi malam ini (kelmarin). Berbaloi saya tinggalkan isteri dan anak yang baharu lahir dua hari lalu.

“Malah, pemain lain juga turut berkorban dengan meninggalkan keluarga masing-masing. Apapun, kami lakukan ini demi negara serta semua penyokong,” katanya.

Mengulas mengenai pertemuan seterusnya menentang Indonesia di Bukit Jalil pada Selasa ini, pemain kacukan Malaysia-Australia itu yakin skuad kendalian Tan Cheng Hoe mampu meraih kemenangan kedua berturut-turut.

“Kami kena beri lebih lagi apabila bertemu Indonesia. Kemenangan ke atas Thailand membuktikan bahawa kami adalah salah satu pasukan yang mampu melangkah jauh dalam kempen kelayakan ini. Dalam hidup ini kita kena berusaha untuk mencapai kejayaan dan saya harap rakan sepasukan akan terus berjuang dan memastikan kemenangan,” katanya.

Ketika ini, Malaysia menghuni tangga keempat Kumpulan G dengan enam mata selepas empat aksi yang diraih ketika menang ke atas Thailand dan Indonesia di Jakarta, September lalu.

Manakala dua lagi aksi berakhir dengan kekalahan kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Vietnam sebelum ini.

Disiarkan pada: November 16, 2019 @ 6:35am
d