utama

Tahu takut...

Oleh Shamsul Munir Safini

TAKUT diberkas polis, pembantu rumah yang melarikan beg berisi barang kemas dan wang tunai bilik majikannya memulangkan semua barangan itu, jam 1.30 tengah hari tadi.

Wanita warga Indonesia itu melarikan wang dan barang kemas yang keseluruhannya berjumlah RM125,000 dari kediaman majikannya di Bandar Perda, Bukit Mertajam, 9 pagi semalam.

Majikannya, Muhammed Abu Talib Mohamed Sagubar Ali, 33, berkata, perkara itu disedarinya selepas melihat beg itu di pintu belakang rumahnya.

Katanya, dia terdengar bunyi seperti sesuatu terjatuh di belakang rumah sebelum pemeriksaan menjumpai beg berisi barang kemas dan wang tunai yang dilarikan pembantu rumahnya berusia 31 tahun.

“Semua barang kemas dan wang tunai yang dilarikan ada di dalam beg kecuali sebentuk cincin, namun saya tidak kisah asalkan barang lain berada dalam keadaan baik.

“Barang kemas diletakkan di situ tapi pembantu rumah sudah melarikan diri,” katanya ketika dihubungi tadi.

Katanya, susulan kejadian dia menghubungi polis sebelum beg itu diambil bagi tujuan siasatan.

Muhammed Abu Talib berkata, semua barang kemas itu milik ibunya, Zeenathunisa Packer Meera Sahib, 64, yang disimpan lebih 10 tahun.

“Selepas tahu barang kemas itu hilang, ibu tidak panik malah positif dengan mengatakan barang itu akan kembali.

“Saya tak sangka ibu begitu tenang dan hanya berdoa agar ia dijumpai kembali,” katanya.

Menurutnya, dia dan seluruh keluarganya sudah memaafkan pembantu rumah itu dan bersyukur kerana barang kemas itu dipulangkan kembali kepadanya.

“Saya menyerahkan siasatan kepada polis dan bagi pihak kami, saya, ibu dan seluruh ahli keluarga sudah memaafkannya,” katanya

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid ketika dihubungi mengesahkan penemuan itu dan memberitahu suspek masih diburu polis.

Berita berkaitan

Amah diburu larikan wang tunai, barang kemas

Disiarkan pada: November 17, 2019 @ 3:48pm
d