utama

Tepis sayap Garuda

Oleh Firdaus Hashim

SEPASANG tangan emas milik Mohd Khairulazhan Khalid bakal menjadi pertaruhan pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe dalam usaha memastikan tiga mata penuh dapat diraih pada aksi Kumpulan G pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok.

Ini berikutan penjaga gol Selangor itu mempamerkan persembahan cemerlang ketika membantu skuad negara menewaskan Thailand 2-1 di stadium sama Khamis lalu, sekali gus menghidupkan semula peluang untuk sekurang-kurangnya muncul naib juara kumpulan itu.

“Perlawanan dengan Thailand bagi motivasi buat saya untuk lebih yakin bermain apabila menentang Indonesia nanti. Kalau diberi peluang oleh jurulatih saya akan berikan sebaik mungkin,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan pasukan, semalam.

Penjaga gol berusia 30 tahun itu diturunkan buat kali pertama dalam kempen kelayakan itu selepas tiga aksi awal menjadi milik penjaga gawang Johor Darul Ta’zim (JDT), Farizal Marlias.

Farizal membantu skuad negara menewaskan Indonesia 3-2 di Jakarta, tewas 1-2 di tangan Emiriah Arab Bersatu (UAE) di tempat sendiri, selain kecundang kepada Vietnam 0-1 di Hanoi.

Aksi cemerlang Khairulazhan ketika membantu pasukan mencalar ego Thailand turut dijulang penyokong tempatan yang memujinya terutama di laman sosial.

Menurutnya, dia amat menghargai sokongan padu penyokong, namun pada masa sama bimbang pujian melangit itu boleh mengganggu prestasinya.

Katanya, dia akan mengambil setiap komen penyokong itu secara positif dan mahu mempertingkatkan lagi persembahannya bersama pasukan kebangsaan.

“Pertama sekali siapa yang main penjaga gol ini mesti tahu kadang-kadang prestasi ada turun naiknya. Kadang-kadang dalam IG (Instagram) dan mesej serta komen kadangkala memang saya takut...takut sangat.

“Kadang-kadang pujian ini boleh buat kita rasa tinggi dan kadang-kadang boleh buat kita rasa jatuh. Syukur Alhamdulillah, saya ambil ia sebagai satu cabaran untuk saya lebih ke hadapan lagi,” katanya.

Azhan tampak berwaspada dan tidak mahu menerima pujian melambung, dan reaksi sama turut diluahkan Cheng Hoe kerana sedar skuad Garuda bakal tampil dengan ‘sayap’ baharu.

Menurut Cheng Hoe, Indonesia bakal tampil berbeza di Stadium Nasional Bukit Jalil terutama selepas pemecatan ketua jurulatih Simon McMenemy yang kini diambil alih sementara penolongnya.

Malah, difahamkan beberapa pemain baharu turut dibawa ke Kuala Lumpur, sekali gus skuad Indonesia bakal hadir dengan penuh rahsia tanpa mengetahui kekuatan dan kelemahan terkini pasukan itu.

“Kita tahu mereka (Indonesia) melakukan beberapa pertukaran termasuk jurulatih dan pemain baharu ke dalam skuad. Ia pasti membawa perubahan kepada pasukan itu yang sudah tentu inginkan kemenangan dengan pasukan baharu.

“Jadi, kita kena tak boleh lagi memikirkan atau terlalu yakin dengan kemenangan lalu kerana sekarang semuanya sudah berbeza.

Tapi, seperti selalu saya pesan kepada pemain, kita kena fokus dan beri tumpuan dengan persediaan sendiri dan jangan terlalu fikirkan perkara lain kerana ia akan mengganggu tumpuan kita,” katanya.

Disiarkan pada: November 18, 2019 @ 6:15am
d