utama

Petanda mata kiri berkerdip

Oleh Nur Saliawati Salberi dan Hassan Omar

“MATA kiri asyik berkerdip sejak pagi semalam dan saya sangka akan melihat orang jauh, tetapi rupa-rupanya petanda menatap wajah anak kaku tidak bernyawa.

“Namun, segala-galanya adalah suratan Allah SWT dan kami terima kehilangan Lukman dengan reda walaupun amat pahit untuk ditelan,” kata Rohana Hashim.

Rohaha, 42, adalah ibu kepada Muhammad Lukman Haqim Mosyazid yang maut dalam kemalangan di Kilometer 204.5 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara berhampiran kawasan rehat dan rawat (R&R) Ayer Keroh dekat Alor Gajah, malam tadi.

Dalam kemalangan 7.45 malam itu, Muhammad Lukman dan sahabatnya, Ahmad Daniel Ruzwan Iskandar Mohd Ali, 19, yang juga pelajar kejururawatan maut selepas kereta Perodua Myvi dinaiki mereka dihempap treler muatan serbuk batu kapur.

Menurut Rohana, sejak pagi semalam, mata kirinya asyik berkerdip dan lazimnya berdasarkan petua orang tua, ia petanda akan bertemu orang dari jauh.

Katanya, dia tidak menyangka sama sekali ia adalah petanda untuk menatap wajah anak sulungnya dalam keadaan menyayat hati.

Dia yang bertugas di Jabatan Pendidikan Johor Bahru berkata, pagi semalam anaknya memberitahunya dia tidak tahu sama ada ingin menaiki bas atau memandu keretanya ke Hospital Pakar KPJ Kajang, Selangor.

“Saya kata terpulanglah kepadanya sama ada hendak naik bas atau memandu kerana sebelum ini dia pernah menjalani latihan amali di hospital itu.

“Dia kemudian memilih untuk memandu selepas mengemas pakaiannya sebelum mengambil Ahmad Daniel di asrama kolej,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Alor Gajah, hari ini.

Rohana berkata, anaknya tidak menunjukkan perubahan malah bersikap seperti biasa.

“Kali terakhir saya menelefon bertanya khabar kira-kira 6.30 petang dan dia memberitahu berada di R&R Pagoh dan berhenti rehat rehat.

“Saya tidak menyangka pada 8 malam, saya dan keluarga menerima perkhabaran duka ini,” katanya.

Sementara itu, bapa Ahmad Daniel, Mohd Ali Abdul Ghani, 47, berkata, dia dan isteri masih terkejut dengan berita diterima itu.

Katanya, pada 4 pagi hari ini, anggota polis ke rumahnya dan memberitahu anaknya terbabit kemalangan.

“Saya menyangkakan anak sulung yang kemalangan ketika pulang dari tempat kerja, tetapi tidak.

“Isteri tiba-tiba rebah sebaik diberitahu Daniel kemalangan kerana mereka rapat,” katanya yang tiba di Jabatan Forensik dari Kemaman, Terengganu pada 12 tengah hari.

Katanya, isteri ada memaklumkan Daniel ada berhubung dengannya dan memberitahu akan mengikuti latihan amali serta turut meminta duit belanja, semalam.

Berita berkaitan

'Dua maut, kereta dihempap treler [METROTV]'

'1 treler, 5 kereta kemalangan'

Disiarkan pada: November 18, 2019 @ 3:24pm
d