utama

Temui jodoh di Instagram

Oleh Ramlah Zainal

DETIK perkenalan mereka bermula di Instagram kira-kira tiga tahun lalu. Selepas lebih dua tahun mengenali hati budi, Nazrief Nazri, 28, menghantar rombongan merisik model jelita, Aizatul Aqma Hamdan, 25 pada Jun tahun lalu.

Pasangan sepadan ini akhirnya selamat disatukan dengan ikatan perkahwinan, Jumaat lalu.

Dengan sekali lafaz, Nazrief sah bergelar suami kepada Aizatul dalam majlis pernikahan di Seavoy House, Titiwangsa, Kuala Lumpur jam 6.10 petang.

Mereka dinikahkan jurunikah Masjid Ibnu Sina, Titiwangsa, Saiful Hamizi.

Pada majlis berkenaan, pihak lelaki menyerahkan mas kahwin RM80 dan wang hantaran RM15,000 serta tiga dulang hantaran berbalas lima daripada pihak perempuan.

Pelakon yang dikenali menerusi drama Makmum Yang Paling Aku Cinta ini bersyukur kerana majlis pernikahan yang dirancang lebih sebulan itu berjalan lancar.

“Majlis yang dihadiri kira-kira 200 tetamu daripada keluarga terdekat dan kenalan rapat berjalan lancar seperti direncanakan.

“Sepatutnya, majlis pernikahan yang bertemakan perkahwinan dalam taman ini dibuat di luar, tetapi terpaksa diadakan dalam dewan kerana hujan,” katanya.

Ditanya kriteria yang ada pada Aizatul, kata Nazrief, dia memilih model itu sebagai isteri kerana terpikat dengan kecantikannya.

“Kami berkenalan di Instagram dan hampir setahun berhubung menerusi Direct Message barulah Aizatul sudi menerima saya menjadi teman istimewanya,” katanya.

Bagi Aizatul pula, dia memilih Nazrief sebagai suami kerana memenuhi kriteria yang dicarinya.

“Saya bersyukur kerana akhirnya kami dapat disatukan dalam ikatan perkahwinan.

“Saya memilihnya kerana dia penyabar dan sangat memahami diri ini sepanjang hubungan kami,” katanya.

Mengulas majlis resepsi pula, kata Nazrief, mereka terpaksa menangguhkannya dulu.

“Kami juga tidak bertunang dan hanya buat majlis merisik secara tertutup sebelum ini. Kami putuskan untuk buat majlis pernikahan dan perkara wajib yang dituntut agama dulu.

“Apabila kewangan lebih stabil, kami rancang buat majlis resepsi yang lebih besar dan jemput ramai tetamu,” katanya.

Berbulan madu di Bali

Pasangan ini akan berbulan madu di Bali, Indonesia pada 5 Disember ini. Nazrief berkata, mereka sudah lama merancang ke Bali sebelum majlis pernikahan lagi.

“Maklumlah, kami belum pernah ke sana dan sepakat memilihnya sebagai destinasi percutian bulan madu,” katanya.

Ditanya mengenai anak pula, kata Nazrief, mereka juga tidak merancang membina keluarga dalam tempoh terdekat ini.

“Biarlah kami menikmati fasa perkahwinan yang masih baru ini dulu dan mengukuhkan kewangan keluarga terlebih dulu. Namun, kalau ada rezeki, kami rancang mahu dua anak saja,” katanya.

Beralih karier seni pula, kata Nazrief, dia juga memperlahankan bidang lakonan kerana menceburi kerjaya baharu sebagai perancang kewangan sejak lima bulan lalu.

“Bidang seni ada pasang surutnya dan saya menceburi kerjaya baharu itu kerana untuk jaminan masa depan. Namun, saya masih berlakon cuma lebih memilih selepas berkahwin. Kali terakhir saya berlakon drama Cemburu Seorang Perempuan yang kini sedang ditayangkan,” katanya.

Disiarkan pada: November 19, 2019 @ 5:15am
d