utama

Khat demi anak

Oleh Noorazura Abdul Rahman

KESUKARAN menjaga anak orang kurang upaya (OKU) terlantar menyebabkan seorang guru agama terpaksa berhenti kerja dan menjadikan seni kaligrafi khat sebagai sumber pendapatan untuk menyara keluarga.

Mat Asri Hanafi, 47, melakukan pengorbanan itu selepas anaknya Muhammad Naseem, 17, tidak lagi mampu berjalan akibat masalah saraf dan otot ketika berusia 12 tahun.

Katanya, dia tidak pernah menyesal dengan keputusannya berikutan anak kedua daripada empat beradik itu memerlukan perhatian sepenuhnya.

“Anak saya mengalami masalah berkaitan saraf dan otot menyebabkan dia lumpuh, selain kaki dan tangannya mengecil secara perlahan-lahan.

“Pada usia 12 tahun dia tidak mampu berjalan, mahu tidak mahu saya perlu melupakan kerjaya saya dan bekerja dari rumah.

“Alhamdulillah dengan pengalaman serta ilmu yang ada, saya mula menawarkan perkhidmatan menulis khat kepada rakan guru serta kenalan termasuk di bahagian dinding sekolah dan masjid,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Padang Serai, Pokok Sena di sini.

Mat Asri berkata, seni kaligrafi itu sudah sebati dalam dirinya dan ia menjadi antara terapi terbaik serta menjadi penawar bagi menghilangkan rasa mengantuk sejak zaman persekolahannya.

Katanya, setiap tulisan khat mengambil masa antara lima minit hingga seminggu bergantung kepada panjang perkataan yang hendak ditulis.

“Walaupun pendapatan menulis khat hanya RM2,000 sebulan tetapi saya bersyukur kerana dapat memberi perhatian menjaga anak di rumah.

“Secara tidak langsung ia juga menjadikan saya antara individu yang terus menghidupkan seni kaligrafi yang semakin terpinggir dalam kalangan anak muda,” katanya.

Menurutnya, kini dia sudah mendapat tawaran dari beberapa sekolah untuk mengajar khat secara sambilan susulan cadangan kerajaan memperkenalkan semula tulis khat kepada murid tahun depan.

“Sebelum ini saya pernah belajar khat dengan beberapa guru termasuk dari Indonesia, khat adalah warisan kita, saya sedih apabila melihat ada tulisan khat di masjid dan surau yang mempunyai kesalahan baris dan kurang huruf.

“Ini kerana ramai yang hanya meniru tulisan di Internet dan tidak berguru,” katanya.

Justeru, katanya, dia merancang membuka bengkel mengajar khat.

Disiarkan pada: November 19, 2019 @ 6:15am
d