utama

Mangsa sindiket?

Oleh Suraya Roslan dan Yusmizal Dolah Aling

“ADA dakwaan Mohd Yassin dan keluarganya menjadi mangsa sindiket, juga warga Rohingya,” kata aktivis masyarakat, Kelana Putra Muhamad.

Dia memberi reaksi itu susulan pendedahan Harian Metro, kelmarin, mengenai kanak-kanak Rohingya, Mohd Yasin Mohamad Rafique, 3, yang menghidap lebihan cecair dalam otak atau hydrocephalus, ditemui meminta sedekah bersama seorang wanita di jejantas Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di Kuala Lumpur.

Kelana Putra berkata, Mohd Yasin mungkin menjadi mangsa eksploitasi kanak-kanak dan tidak menolak kemungkinan ia didalangi sindiket warga Rohingya.

“Kami bersama bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Sahabat Care akan menggerakkan sukarelawan memantau di tempat-tempat lain di Kuala Lumpur,” katanya kepada wartawan Harian Metro.

Dalam pada itu, Kelana Putra berkata, dia bersama Sahabat Care juga dalam perbincangan mengenai bentuk bantuan yang boleh diberikan kepada Mohd Yasin.

Katanya, berdasarkan maklumat awal diterima, kanak-kanak itu tinggal bersama ibu bapanya yang juga pelarian Rohingya yang mengemis di beberapa lokasi di ibu negara lebih dua tahun lalu.

“Saya dan Sahabat Care yang diwakili aktivis Mohamad Fadzil dan Anas Jamaluddin akan mempertimbang bentuk bantuan sesuai memandangkan kanak-kanak itu sedang sakit.

“Buat masa ini, kami dalam usaha mendapatkan alamat keluarga terbabit untuk memperoleh butiran lanjut mengenai keperluan Mohd Yassin termasuk penyakit yang dideritainya,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pesakit Hydrocephalus Malaysia, Azah Hana Ahmad Azahari berkata, pihaknya berharap Mohd Yasin dapat ‘diselamatkan’ daripada terus menjadi mangsa sindiket untuk menderma.

“Mohd Yasin sudah ‘digunakan’ sindiket sejak kecil lagi, saya berharap ada pihak tampil membantu kanak-kanak berkenaan daripada terus dipergunakan dan diberikan rawatan sewajarnya.

“Malah, hasil siasatan kami dengan Hospital Kuala Lumpur (HKL), Mohd Yasin juga tidak pergi mendapatkan rawatan susulan di HKL selepas dibedah dua tahun lalu,” katanya.

Sebelum ini Harian Metro melaporkan kehadiran Mohd Yasin di jejantas TBS di Kuala Lumpur, mengundang pertanyaan orang ramai.

Mereka hairan apabila Mohd Yasin yang kisahnya pernah disiarkan akhbar kerana menjalani rawatan di HKL dua tahun lalu, bersama seorang wanita mendakwa ibunya dibiarkan memohon derma orang ramai di situ setiap hari dari 1 tengah hari hingga 8 malam.

Bagaimanapun, Harian Metro dimaklumkan, Mohd Yasin dan ibunya yang memakai purdah kerap berada di Masjid Jamek, Bukit Bintang dan beberapa lokasi tumpuan lain di sekitar ibu kota.

Disiarkan pada: November 19, 2019 @ 10:26pm
d