utama

Tak rasa diperguna

Oleh Ardini Sophia Sina

PERSAHABATAN lapan anak muda ini terjalin sejak usia mereka masih remaja, namun karier nyanyian mereka secara rasmi baru saja genap setahun pada 7 Julai lalu.

Tampil dengan lagu Mimpi bekerjasama dengan Alif, kumpulan hip hop K-Clique yang dianggotai Tuju, Somean, Noki, MK, Kdeaf, FareedPf, Gnello dan NastyNas kini dilihat sebagai satu fenomena dalam perkembangan muzik hip hop tanah air.

Siapa sangka, lagu berkenaan meledakkan nama mereka di persada seni. Mungkin kelebihan mereka adalah bergerak sebagai satu kumpulan yang masing-masing punya cara dan keunikan rap tersendiri.

Meniti populariti, jadual K-Clique sangat padat dan hampir dalam setiap acara mereka pasti dijemput untuk turut sama menghiburkan penonton dan memeriahkan suasana.

Ada individu yang melihat seolah-olah kumpulan ini dipergunakan sebagai daya tarikan supaya lebih ramai tetamu yang hadir tambahan pula lapan sahabat itu menjadi kegilaan remaja dan kanak-kanak.

Bagaimanapun, Tuju menepis tanggapan berkenaan dan memaklumkan pembabitan mereka dalam setiap acara adalah atas dasar profesional.

Tidak timbul isu dipergunakan kerana apa yang dilakukan itu adalah kerja mereka.

“Ya memang benar kami agak sibuk dengan pelbagai jemputan sama ada majlis kecil atau besar. Ini termasuk memeriahkan majlis pelancaran produk.

“Kami tidak rasa dipergunakan kerana menghiburkan tetamu atau penonton adalah pekerjaan kami. Tambahan pula ia memberikan impak positif pada karier yang baru bermula.

“Saya boleh katakan ia adalah situasi menang-menang. Saya harap kehadiran kami dalam setiap acara itu dapat membantu mencapai matlamat penganjur dan pada masa sama membantu menaikkan nama K-Clique,” katanya.

Sebelum popular dengan lagu Mimpi, kumpulan itu sudah melancarkan lagu seperti Sah Tu Satu dan Lane Lain Line serta bekerjasama dengan penyanyi rap lain.

Bagi mereka, lagu Mimpi bukan punca utama K-Clique menempa nama di pentas seni suara.

“Mungkin pandangan orang lain, mereka lihat nama K-Clique mula dikenali semua peringkat usia kerana lagu Mimpi. Bagaimanapun, bagi kami karya itu adalah ‘booster’ pada kerjaya.

“Kami sangat berterima kasih kepada Alif dan syarikat rakaman kerana memberikan peluang kepada K-Clique untuk cuba masuk ke muzik arus perdana. Ia sememangnya membantu melancarkan lagi karier seni kami,” kata Tuju.

Menerima banyak tawaran persembahan di Sabah dan sekitar Semenanjung, K-Clique yang berpangkalan di Kota Kinabalu, Sabah belum terfikir untuk berpindah dan menetap di Kuala Lumpur.

Kata FareedPf, mereka tidak kisah berpenat lelah setiap hari terpaksa berkejar ke lapangan terbang asalkan masih berada di Kota Kinabalu dan dekat dengan keluarga.

“Kami akui penat. Selepas beberapa persembahan di Kuala Lumpur, kami terpaksa balik ke Kota Kinabalu untuk memenuhi beberapa jemputan. Berehat dalam satu atau dua hari kemudian terbang lagi.

“Bagaimanapun, kami bermula di Kota Kinabalu dan akan terus seperti itu. Tiada perancangan untuk menetap di Kuala Lumpur walaupun tawaran lebih banyak di sana,” katanya.

Sabtu lalu, K-Clique membuat persembahan bersama DJ Cza bersempena pelancaran produk Voom.Asia. Walaupun hanya membuat persembahan di ruangan kecil di The Bee, Publika namun persembahan mereka tetap bertenaga.

Mereka puas setiap kali melihat penonton bersorak serta menyanyi bersama mereka. Ia menjadi pemangkin semangat buat K-Clique terus memberikan yang terbaik.

“Walaupun penat, tetapi kami puas melihat penonton terhibur, bersorak, melompat dan menyanyi bersama-sama kami. Itu sudah cukup memberikan kami semangat untuk terus berusaha,” kata Noki.

Disiarkan pada: November 20, 2019 @ 5:30am
d