utama

Mukhtar tanpa kaki

Oleh Zuhainy Zulkiffli

“BELUM ada perancangan, berehat saja dan tak fikir nak buat apa lagi. Agak buntu juga,” kata Mukhtar Bahari, 62, pemandu lori sampah syarikat pembersihan yang kehilangan kaki kiri akibat kecuaian pemandu lain, Jumaat lalu.

Keadaan Mukhtar kini stabil selepas kaki kirinya terpaksa dipotong dan ditempatkan di wad biasa Hospital Pulau Pinang (HPP).

Mukhtar berkata, dia memulakan rutin pekerjaannya jam 12 tengah malam hingga jam 7 pagi setiap hari dan ketika itu bertugas dengan tiga pekerja lain di Jalan Anson.

“Memang jadi kebiasaan untuk saya memeriksa keadaan sekeliling bagi memastikan persekitaran berkenaan bersih sebelum melakukan pembersihan di tempat lain.

“Namun tanpa disangka, saya dirempuh kereta dan langsung tidak sedarkan diri selepas itu,” katanya yang 35 tahun bekerja dengan syarikat pembersihan itu.

Mukhtar kemudian dikejarkan ke HPP dan rempuhan yang kuat itu menyebabkan kaki kirinya dari bahagian paha ke bawah terpaksa dipotong berikutan tulang hancur.

Manakala pemandu kenderaan terbabit, wanita warga Vietnam menghilangkan diri selepas kejadian namun ditemui dirawat di hospital swasta.

Mukhtar ditemui ketika menerima kunjungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan wakil Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Jerjak.

Sementara itu, Pengurus Pejabat Perkeso Georgetown, Rafidah Abdul Rahim berkata, pihaknya turut menyerahkan sumbangan kerusi roda serta faedah wang tunai kepada Mukhtar.

Disiarkan pada: November 20, 2019 @ 6:45am
d