utama

Kereta terbang tak jadi 'terbang' esok

Oleh Hairulazim Mahmud

PIHAK Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) tidak meluluskan ujian penerbangan UAS E-Hang 216 (EH216) atau ‘kereta terbang’ yang dijadualkan esok.

CAAM dalam kenyataan hari ini menegaskan, lokasi percubaan penerbangan di Hangar UNIKL MIAT Subang adalah kurang 200 meter dari laluan trafik pesawat dan helikopter komersial.

“Lokasi itu jelas terletak di dalam Zon Kawalan Terminal Lapangan Terbang Subang di bawah penyeliaan yang ketat oleh Pusat Kawalan Trafik Udara.

“EH216 hanya diberikan Permit Khas Penerbangan (SFP) oleh negara pengeluar iaitu Pentadbiran Penerbangan Awam China yang terhad untuk mengendalikan penyelidikan dan pembangunan penerbangan di Grand World Science Park, Guangzhou,” katanya.

Dalam pada itu CAAM berkata, sedang menyiasat demonstrasi penerbangan yang tidak diluluskan membabitkan EH216.

“Ujian ‘haram’ itu dilakukan pada 15 November lalu di Lapangan Terbang Subang,” katanya.

CAAM amat menyokong pembangunan industri aeroangkasa di negara ini namun ia mesti mengikut Peraturan Penerbangan Awam Malaysia 2016 (MCAR 2016) bagi memastikan jaminan keselamatan dipatuhi.

“CAAM ingin memaklumkan sedia mempertimbangkan sekiranya ujian penerbangan EH216 mahu dilakukan di lokasi yang sesuai dengan sokongan negara pengeluar,” katanya.

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof kelmarin mengesahkan beliau akan melakukan ujian memandu dan menaiki ‘kereta terbang’ esok.

Beliau memaklumkan perkara itu pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2020 bagi kementeriannya di Persidangan Dewan Rakyat di Kuala Lumpur.

Berita berkaitan

Kereta terbang: Menteri kena sindir

Kereta terbang dipandu uji, Khamis ini

'Khamis ni, saya naik kereta terbang'

Disiarkan pada: November 20, 2019 @ 6:50pm
d