utama

Kerusi bayi pun kau 'sapu'

Oleh Redzuan Muharam

“SAYA boleh terima jika dia bawa lari barangan peribadi saja tetapi kesal kerana individu itu tergamak mencuri barangan anak iaitu kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS),” kata ibu seorang cahaya mata, Anis Syazwanie Jasmani, 25.

Anis Syazwanie memberi reaksi itu ketika diminta mengulas mengenai ciapan dan gambar dimuat naiknya di Twitter Ahad lalu.

Menerusi ciapannya, Anis Syazwanie meminta bantuan warganet menyalurkan maklumat jika bertemu dengan individu yang menjual CRS terpakai.

CRS itu hilang selepas dilarikan penjenayah yang memecah masuk Perodua Myvi suaminya, Muhammad Iqbal Zakaria, 26, Ahad lalu.

Perkongsian itu mendapat perhatian warganet yang rata-ratanya bersimpati dan mendoakan supaya Anis Syazwanie bertabah.

Bercerita lanjut, Anis Syazwanie berkata, dia dan suami hanya menyedari apa yang berlaku selepas keluar daripada sebuah pusat beli belah di Taman Bukit Indah, Johor Bahru.

“Ahad lalu, saya bersama suami dan anak kami, Ella Hannah berusia tiga bulan singgah di pusat beli belah itu selepas pulang dari klinik pada 12.30 tengah hari.

“Suami meletak kereta di kawasan parkir dan kami berada dua jam di dalam pusat beli belah berkenaan.

“Sekembalinya ke kereta untuk pulang ke rumah, kami dapati sebahagian cermin penumpang belakang sudah pecah manakala beberapa barangan lain turut dicuri antaranya radio, tombol gear, rangka penghawa dingin, peranti Vape, pengimbas Smart Tag dan CRS.

“Jumlah kerugian dianggarkan antara RM5,500 hingga RM6,000 dan kami tak sangka insiden itu boleh berlaku kerana kereta di parkir di dalam kawasan berpalang,” katanya ketika dihubungi.

Bagi mendapatkan kepastian, Anis Syazwanie dan suami mencari pengawal keselamatan untuk melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) tetapi dimaklumkan kawasan pusat beli belah itu tidak dilengkapi dengan peranti elektronik terbabit.

“Menurut pengawal keselamatan, mereka ada membuat rondaan setiap 30 minit tetapi saya pelik bagaimana kejadian ini boleh berlaku.

“Bukan kereta kami saja tetapi ada sebuah lagi kenderaan turut dipecah masuk kemungkinan penjenayah sama pada hari itu. “Memandangkan tiada rakaman CCTV, kami hanya diberi borang aduan oleh pengawal keselamatan bertugas.

“Mujurlah, saya sempat mengambil gambar dengan telefon bimbit untuk disimpan sebagai bukti kerana selepas bertemu dengan pengawal keselamatan, mereka segera mengarahkan tukang cuci membersihkan serpihan kaca yang ada di dalam kereta,” katanya yang menetap di Gelang Patah, Iskandar Puteri, Johor.

Menurutnya, dia sudah membuat laporan di balai polis berhampiran.

Meskipun yakin tidak akan mendapat semula barangan itu, dia berharap perkongsiannya di Twitter menjadi peringatan untuk orang lain supaya lebih berhati-hati.

“Saya dan suami tak sangka menjadi mangsa kerana bukan memandu kereta mewah dan yakin kawasan parkir itu selamat.

“Namun nasib kami tidak baik pada hari itu dan diharap, kisah ini menjadi pengajaran buat semua,” katanya.

Disiarkan pada: November 20, 2019 @ 8:00pm
d