utama

Penjawat awam Johor terima bantuan minimum RM2,000

Oleh BERNAMA

KERAJAAN Johor mengumumkan pemberian bantuan khas kewangan sebulan gaji atau minimum RM2,000 kepada 13,400 penjawat awam negeri ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, bantuan membabitkan peruntukan kewangan RM34.78 juta akan dibayar dua kali iaitu sebelum akhir tahun ini dan sebelum sambutan Aidilfitri tahun depan.

“Saya ingin menjelaskan pembangunan Johor tidak akan dicapai sepertimana kita nikmati hari ini tanpa komitmen, dedikasi dan pengorbanan dalam kalangan penjawat awam negeri.

“Justeru, bagi menghargai jasa penjawat awam, kerajaan negeri bersetuju memberikan bantuan kewangan khas,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Johor 2020 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar, hari ini.

Dr Sahruddin berkata, bantuan khas kewangan turut diberikan kepada kakitangan kerajaan negeri dan kakitangan awam Persekutuan yang dibayar gaji oleh kerajaan negeri selain semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor, Speaker Dewan Negeri Johor, Timbalan Speaker Dewan Negeri Johor, Ahli Dewan Negeri Johor dan Ahli Jumaah Majlis Diraja Johor.

Beliau berkata, turut menikmati bantuan adalah Ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Johor (SPAJ), guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), petugas Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) dan guru Tadika Islam Johor (TAJ).

Sementara itu, Dr Sahruddin berkata, seramai 2,090 guru KAFA akan menerima elaun penuh RM1,412 sebulan mulai Januari depan dengan implikasi kewangan berjumlah RM1.67 juta.

Beliau berkata, sebagai inisiatif mengukuhkan institusi kekeluargaan, kerajaan negeri menerusi Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Takzim (YPDKT) memperuntukkan RM800,000 untuk membina dan membaik pulih TASKA di bangunan Kuarters Kerajaan Jalan Tajul, Kota Tinggi serta TASKA YPDKT di Wisma Persekutuan, Johor Bahru.

Disiarkan pada: November 21, 2019 @ 4:29pm
d