utama

Janji palsu sumbangan van jenazah

Oleh Alias Abd Rani

MAJLIS doa selamat sudah dirancang, malah jamuan untuk tetamu bakal diundang dalam perbincangan, tetapi malangnya individu mahu menyumbang RM120,000 untuk kos membeli van jenazah ‘hilang daripada radar’.

Semuanya bermula apabila individu terbabit dikatakan menghubungi sukarelawan Unit Khas Van Jenazah (UKVJ) untuk meminta memasukkan nombor telefon dalam kumpulan WhatsApps kononnya dia berminat bersama skuad itu mempelajari ilmu pengurusan jenazah.

Tidak lama kemudian, sebaik menyertai kumpulan WhatsApps itu, lelaki terbabit memaklumkan majikannya yang juga seorang haji bersedia membantu UKVJ bagi kos pembelian van jenazah baru.

Ketika berkongsi pengalaman ini, Pengasas UKVJ, Mohd Hirwan Aiyub memberitahu, sebaik dimaklumkan berita itu, sukarelawan terbabit kegembiraan memandangkan selama ini mereka hanya menggunakan van lama untuk menghantar jenazah.

“Maklumlah dapat van lebih selesa untuk penghantaran jenazah jarak jauh, mana tak (tidak) gembira. Kami tidak mahu mengharap dengan janji ditabur kerana belum apa-apa lagi, individu itu sudah menyatakan permohonan RM120,000 sudah berjaya.

“Dia memberitahu ia adalah hasilnya sendiri selepas membuat satu kertas kerja. Situasi itu agak pelik, jadi saya bertanya bagaimana dia memperoleh bahan dan dokumen penting untuk buat kertas kerja itu.

“Saya beritahu untuk mendapatkan dokumen penting, dia perlu berjumpa saya kerana dokumen seperti kelulusan ROS (Pertubuhan Pendaftaran), maklumat ahli jawatankuasa adalah sulit,” katanya ketika dihubungi.

Kisah itu kemudian dimuat naik dalam Facebook Wan Cai Official sekadar berkongsi pengalaman serta pengajaran kepada orang ramai selain bimbang lelaki itu anggota sindiket penipuan.

Ia mendapat perhatian netizen yang turut bersimpati sambil menghulurkan kata-kata semangat.

Antaranya: “Semoga Allah sentiasa melindungi kalian dari segala musibah dan fitnah. Anggaplah bukan rezeki hari ini. Mungkin ada hikmah di sebaliknya. Saya sentiasa doakan kerja amal anda diberkati Allah.”

Lebih menghairankan sukarelawan UKVJ ialah lelaki terbabit tidak pernah bersemuka dengan mereka, sekali gus membuatkan mereka tertanya-tanya adakah apa yang dikatakan benar atau sebaliknya.

Tidak cukup dengan itu, dia memaklumkan penyerahan sumbangan itu akan dilakukan di bilik wakaf, esok namun tiada jawapan diterima selepas beberapa kali pihaknya menghantar pesanan peribadi.

“Nasib baik khemah belum dipasang, orang kampung belum dipanggil untuk majlis ini. Jika tidak, malu besar kami.

“Mesej dihantar langsung tidak dibaca apatah lagi untuk dibalas, jadi semalam saya cuba hantar sekali lagi mesej dan pagi ini, dia sudah menyekat nombor saya.

“Sejak Ogos dia berjanji untuk menyalur sumbangan. Dia memberi alasan majikan sedang menunaikan haji dan bulan lalu, dia memberitahu majikannya pula berada di China.

“Sebenarnya kami tidak kisah pun dengan janji dibuat, cuma kalau benar saya anggap dana diterima adalah rezeki untuk jenazah dan waris dari golongan sasaran kami,” katanya.

Mohd Hirwan berharap mereka memperlekehkan keikhlasan UKVJ dalam dunia fardu kifayah diberikan hidayah.

“Cuma saya nak pesan, apapun berlaku biarlah berlalu. Ditipu waris yang berlakon tidak mempunyai duit untuk menguruskan jenazah ahli keluarga mereka adalah asam garam.

“Kalau ada pihak betul-betul mahu menyalurkan sumbangan, boleh menggunakan nombor akaun 8603746447 CIMB Bank atas nama Pertubuhan Ukhuwah Kebajikan Van Jelata Selangor,” katanya.

Disiarkan pada: November 23, 2019 @ 9:16pm
d