utama

Dua beranak antara tiga maut kemalangan

Oleh Ibrahim Isa

DUA beranak antara tiga maut dalam kemalangan membabitkan dua kereta di Jalan Mersing - Endau, berhampiran Hutan Lipur Gunung Arong, Mersing hari ini.

Dua beranak itu adalah pemandu dan penumpang Toyota Vios, Abdul Manan Ahmad, 59, dan anaknya, Nur Ainil Jannah, 22, kedua-duanya beralamat terakhir di Taman Sri Kluang.

Seorang lagi mangsa adalah penumpang hadapan Honda City yang masih belum dikenal pasti identitinya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Endau, Mohd Alias Hussin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5.23 petang sebelum 10 anggota, satu jentera dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi.

Menurutnya, pihaknya menerima bantuan sembilan anggota dan satu jentera dari BBP Mersing.

“Kemalangan membabitkan dua kereta iaitu Toyota Vios dan Honda City dinaiki enam orang.

“Kami percaya Toyota Vios dari Mersing menuju ke Endau manakala Honda City dari arah bertentangan sebelum bertembung.

“Apabila tiba, lima mangsa yang cedera sudah diselamatkan orang ramai manakala tiga mangsa termasuk dua beranak masih berada di dalam kereta,” katanya.

Menurutnya, pihaknya mengambil masa 10 minit untuk mengeluarkan ketiga-tiga mangsa sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan akibat parah.

Katanya, mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Mersing untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Menurutnya, operasi ditamatkan pada 6.33 petang dan kes diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.

Disiarkan pada: November 23, 2019 @ 9:34pm
d