utama

Tapai pandai 'merajuk'

Oleh Ahmad Ismail

TAPAI ubi kayu antara juadah istimewa orang Melayu yang boleh ditemui di mana-mana sama ada pada majlis jamuan atau dijual di restoran sebagai hidangan sampingan.

Di sebalik keenakan tapai ubi kayu yang kita nikmati itu, ramai tidak tahu proses menghasilkannya tidak semudah disangka.

Itu belum termasuk beberapa pantang larang yang diamalkan pembuatnya bagi menghasilkan tapai yang enak, manis dan bermutu.

Pengusaha tapai ubi kayu, Sabreena Mohd Rafi, 23, berkata, pelbagai pantang larang antaranya mulut jangan celupar dan mengeluarkan kata-kata tidak elok ketika menyediakan tapai.

“Selain itu wanita datang bulan tidak boleh menyentuh menggunakan tangan ketika proses meletakkan ragi pada ubi.

“Semua pantang larang itu kerap dipesan ibu (Ruliza Kamirin, 42) dan bapa saya (Mohd Rafi Jaafar, 48),” katanya.

Menurutnya, individu yang membuat tapai ubi juga tidak boleh dalam keadaan tertekan atau marah kerana kononnya boleh memberi kesan terhadap rasa tapai dihasilkan.

“Tapai ubi akan ‘merajuk’ (meragam) dan bertukar masam atau keras.

“Ibu kerap berpesan bahawa pantang larang atau petua generasi terdahulu berdasarkan pengalaman dilalui,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Bukit Kepong, Muar.

Katanya lagi, rasa tapai ubi yang manis selain lembut adalah ciri-ciri tapai yang berkualiti tinggi dan menepati rasa diinginkan.

“Proses penghasilan tapai ubi bermula dengan mengikis bahagian luar ubi kayu bagi membuang pelbagai kotoran selepas kulit ubi dikopek.

“Ubi kayu kemudian dipotong menjadi ketulan kecil sebelum direbus selama kira-kira 20 minit,” katanya.

Katanya, ragi kemudian disagat menggunakan peralatan khas bagi menghasilkan serbuk ragi halus yang diletakkan di atas ketulan ubi.

“Ubi kayu di dalam bekas kemudian ditutup selama dua atau tiga hari sebelum sedia untuk dipasarkan dalam bekas plastik.

“Suatu ketika dahulu, tapai ubi kayu dibungkus di dalam daun pisang namun kesukaran mencari daun pisang menyebabkan bekas plastik digunakan,” katanya.

Sabreena berkata, setiap bekas tapai ubi kayu itu dijual antara RM2 dan RM3.

“Permintaan tapai ubi kayu semakin meningkat berikutan kaum Cina dan India turut meminatinya. Malah peniaga cendol turut menggunakan tapai ubi kayu sebagai penambahan perisa.

“Kami menanam sendiri pokok ubi kayu bagi memastikan tidak berlaku kekurangan bekalan,” katanya.

Disiarkan pada: November 24, 2019 @ 7:15am
d