utama

Haramkan vape?

Oleh Suraya Roslan

MAJLIS Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menggesa kerajaan mewujudkan undang-undang mengharamkan vape seperti dilakukan 30 negara Asia lain.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, tindakan itu perlu dibuat segera sebelum terlambat dan kerajaan perlu mencontohi negara Asia lain seperti China, India dan Singapura yang sudah melarang vape dijual di negara masing-masing.

“Industri rokok sudah bertapak puluhan tahun di Malaysia, kini kempen menentang rokok menelan belanja ratusan juta ringgit untuk membasminya, namun masih gagal.

“Tidak ada siapa pun yang boleh menafikan merokok adalah suatu musibah parah dalam kalangan rakyat yang menjejaskan kesihatan, ekonomi, sosial dan alam sekitar.

“Jika vape tidak ditangani dengan tegas gejala itu akan bertapak dalam masyarakat Malaysia sebagaimana rokok dan akhirnya menjadi wabak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Azmi berkata, pihaknya menimbangkan keuntungan ekonomi daripada industri vape adalah salah dan kerajaan tidak boleh berkompromi.

“Kematian akibat vape di Amerika Syarikat sudah didedahkan dan pakar perubatan juga mengesyorkan jika vape tidak dibanteras sekarang ia pasti membawa musibah lebih besar, terutama dalam kalangan anak muda.

“Kita ambil contoh di Filipina apabila seorang remaja dikesan menghisap vape dan merokok selama enam bulan sehingga menyebabkan paru-parunya rosak teruk, manakala di Amerika pula 47 kematian serta 2,000 lagi dikesan sakit berkait dengan amalan vape dan rokok mengikut Bloomberg.

“China sudah mengarahkan semua platform menjual atas talian produk e-rokok ditutup untuk mengelak anak muda membelinya,” katanya.

Menurut beliau, masyarakat tidak seharusnya dikelirukan dengan hujah yang mendakwa industri vape tidak berbahaya.

“Inilah hujah yang diketengahkan ketika industri rokok diperkenalkan, harus diingat lapan juta perokok mati setahun akibat merokok.

“Berhenti merokok tembakau dan bertukar kepada vape bukan alternatif yang baik.

“Kami menggesa kerajaan tidak menggadai kesihatan rakyat hanya kerana ingin menjaga kepentingan peniaga vape,” katanya.

Disiarkan pada: November 24, 2019 @ 9:42pm
d