utama

Mia cuba menyanyi

Oleh Syanty Octavia Amry

KIAN meningkat remaja, Mia Sara Nasuha dilihat semakin kurang muncul di kaca TV sebaliknya dia aktif menguruskan pelbagai perniagaan.

Mia, 14, berkata, bukan tiada tawaran berlakon, tetapi dia perlu memperlahankan aktiviti seni berikutan bakal menduduki peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) tahun depan.

“Buat masa ini saya tidak ambil tawaran berlakon kerana mahu fokus dalam pelajaran. Lagipun, jika berlakon masa saya banyak dihabiskan di lokasi penggambaran.

“Selain itu saya juga sibuk fokus menguruskan perniagaan tudung dan produk penjagaan bibir kerana ia tidak mengambil masa terlalu lama,” katanya.

Dalam pada itu, Mia turut berjinak-jinak dalam bidang nyanyian dan mempersiapkan diri untuk tampil dengan single pertama tidak lama lagi.

Mia mengakui menggemari muzik R&B dan balada serta berharap dapat tampil dengan single yang mengetengahkan muzik seperti itu pada masa akan datang.

“Apabila sudah lama berlakon, saya teringin pula hendak menyanyi. Memang saya mempunyai impian untuk ada lagu sendiri.

“Sebelum ini saya pernah masuk kelas vokal, tetapi disebabkan sibuk dengan pelajaran saya berhenti sekejap.

“Insya-Allah selepas ini, jika ada masa saya mahu ambil kelas vokal semula selain belajar piano dan gitar,” katanya yang pandai bermain ukulele.

Mia berkata, walaupun belum menetapkan sebarang tempoh untuk tampil dengan lagu sendiri, dia perlu mempersiapkan diri supaya apa yang diimpikan dapat direalisasikan.

“Jika sebelum ini hasrat untuk tampil dengan lagu sendiri tergendala, saya berharap selepas ini segala yang dirancang akan berjalan lancar,” katanya.

Perkembangan terkini, Mia terbabit dalam sitkom terbaharu bertajuk SMK yang akan disiarkan di Astro Ceria pada setiap Sabtu bermula 30 November ini, jam 11 pagi.

Disiarkan pada: November 25, 2019 @ 5:20am
d