utama

Budak perempuan 5 tahun mengadu diliwat

Oleh Norizuan Shamsuddin

KANAK-KANAK perempuan berusia lima tahun berdepan detik hitam selepas diliwat anak pengasuh di sebuah kediaman di Kuala Terengganu, kelmarin.

Menurut sumber, kejadian berlaku selepas ibu kanak-kanak terbabit menghantar mangsa ke rumah pengasuh yang tinggal berdekatan kediaman mereka, jam 7.20 pagi.

“Bagaimanapun, selepas wanita berusia 36 tahun mengambil anaknya dari rumah pengasuh jam 5.20 petang hari sama, mangsa mengadu sakit ketika mahu membuang air kecil.

“Susulan itu, wanita terbabit bertanya kepada anaknya sebelum mangsa menceritakan perbuatan remaja berkenaan terhadapnya.

“Kejadian didakwa berlaku apabila pengasuh tiada di rumah dan meninggalkan kanak-kanak terbabit bersama suspek,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Sumber berkata, mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Chabang Tiga, hari sama untuk tindakan lanjut.

Katanya, mangsa turut dihantar ke hospital bagi pemeriksaan dan rawatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Terengganu, Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Katanya, susulan laporan dibuat, pihaknya menahan remaja terbabit di sebuah kediaman kira-kira jam 5 petang semalam.

“Suspek kini direman bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 14 (B) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya.

Disiarkan pada: November 25, 2019 @ 5:45pm
d